Tiada angin tiada ribut, hangat diperkatakan di media sosial mengenai seorang bekas jurulatih Liga Super dikhabarkan sudah bernikah dengan selebriti wanita muda yang dikatakan berumur 20-an.
Spekulasi tersebut menjadi tanda tanya ramai malah netizen cuba menyelongkar profil kedua-dua individu terbabit bagi mencari bukti perkahwinan yang dikatakan berlangsung baru-baru ini.
Bagaimanapun, semalam kecoh apabila netizen mendakwa adakah jurulatih berpengalaman yang dikatakan berkahwin dengan adik selebriti adalah Datuk Zainal Abidin Hassan?
Perkara itu menjadi bualan berdasarkan beberapa portal yang ‘memetik’ nama bekas pengendali Penang FC dan Melaka United itu.
Malah, netizen turut mendakwa wanita terbabit adalah adik kepada Ayda Jebat iaitu Fina Jebat yang pernah menyertai sebuah rancangan realiti televisyen swasta.
Bagaimanapun, setakat ini masih tiada pengesahan daripada kedua pihak serta tidak dapat dipastikan lagi kesahihan mengenai khabar angin berkenaan.