Penyanyi Yuna memberitahu dia tekad untuk kembali menetap di Malaysia selepas lebih sedekad berhijrah ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) kerana mahu lebih dekat dengan keluarga.
Memetik BH Online, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai berkata biarpun sudah tinggal di Malaysia namun kerjayanya di AS tetap berjalan seperti biasa.
BACA: Yuna Dikatakan Tak Waras Selepas Tolak Kerjasama Jenama Antarabangsa
“Insya-Allah, saya dan suami bercadang kembali menetap di Malaysia. Lagipun, ibu bapa saya sudah semakin berusia, jadi saya ingin lebih dekat dengan mereka.
“Keluarga gembira dan menyambut baik keputusan. Kami pun gembira kerana akhirnya hasrat untuk lebih rapat dengan keluarga dan meluangkan masa bersama tercapai.
“Sekarang ini kami sedang dalam proses mengubah suai rumah untuk kehidupan lebih selesa. Kalau ada apa-apa kerja rakaman di AS, biasanya hanya ambil masa dua minggu. Tapi, itu bukan masalah kerana kami ada teknologi yang boleh dimanfaatkan.
“Saya akui AS memang tempatnya dari segi kerjaya muzik, tetapi kalau bercakap mengenai kualiti kehidupan, di sini lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Yuna tidak menolak faktor usia serta perancangan memiliki keluarga antara punca mengapa dia dan suami membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia.
“Mungkin faktor usia juga membuatkan saya nak berpangkalan di Malaysia, Penat bila duduk lama-lama dalam kapal terbang sampai sakit belakang.
“Kami juga memang ada perancangan ke arah memiliki anak dan sedang berusaha. Tapi, sebelum itu. kami perlu memastikan kehidupan selesa dan stabil dulu,” katanya.
SUMBER: BH Online