“Waktu Asar Ke Maghrib, Perut Akan Kembung & Membesar”

Beberapa hari lalu, penyanyi rock dan pelakon terkenal Awie dilaporkan berada di hospital kerana kesukaran untuk bernafas. Tidak mengetahui apa yang menimpa dirinya, Awie berkata doktor yang merawatnya telah melakukan pemeriksaan rapi dan mendapati keadaan dirinya sihat serta tidak menemui sebarang penyakit.

Awie juga mendedahkan ada sesuatu yang tidak kena pada bahagian perutnya dan berikutan itu beliau bercadang untuk melakukan usaha lain iaitu kaedah alternatif yang mungkin dapat menyelesaikan masalahnya itu.

BACA: Awie Susah Bernafas, Kini Di Hospital

“Doktor dah periksa semua dalam perut semua okay, Alhamdulillah. Jantung, organ, usus sebagainya semua okay. Kita tak tahu nak cakap macam mana. Kita akan cuba cara alternatif.

“Selepas Asar membawa ke Maghrib, perut saya akan kembung dan membesar. Bahagian belakang pula terasa seperti dicucuk dengan lembing yang membara,” katanya kepada MHE TV.

Dalam pada itu, Awie memohon kepada penyokong dan peminat untuk mendoakan agar beliau sihat kembali dan segera pulih. Berikutan masalah dihadapinya itu, Awie terpaksa membatalkan beberapa persembahan pentas termasuklah persembahan di Pesta Pulau Pinang.

Terbaru, memetik laporan Kosmo, lewat petang semalam Awie sudah dibenarkan pulang ke rumah dan keadaan beliau juga semakin baik.

×