“Tunggu Mak Paksa Baru Saya Akan Cari Pasangan”

Sudah beberapa kali gagal dalam cinta, Zizan Razak mengakui pernah menganggap dirinya bermasalah sehingga menjadi punca hubungan cinta yang dibina sebelum ini terputus ditengah jalan.

Bagaimanapun, Zizan berkata dirinya kini lebih matang dalam soal cinta dan menyifatkan apa yang berlaku sebelum ini sudah ditetapkan oleh Allah adalah yang terbaik untuk dirinya.

BACA: Diundang Ke Majlis Kahwin, Zizan Razak Doakan Emma Bahagia

“Memang pernah terfikir saya sendiri bermasalah ke tapi kini, saya lebih matang bila bercerita mengenai soal cinta. Baik fikir balik, Allah tahu yang terbaik untuk kita.

“Jadi saya perlu fikir positif. Kita hidup di muka bumi ini bukan hanya untuk diri kita saja tapi untukNya. Apa yang berlaku, bukan kehendak kita tapi semua perancangan daripada Allah,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Zizan mengakui pernah mencuba untuk mendirikan rumah tangga namun tiada jodoh. Ujarnya lagi, dia ada terfikir soal kahwin namun dia hanya akan mencari pasangan apabila ibunya bersungguh-sungguh mahu dia berkahwin.

“Buat masa sekarang saya ada juga terfikir soal kahwin. Saya pernah mencuba ke arah itu tapi apabila rezeki lain datang, saya fokus pada kerja dahulu.

“Lagipun saya nak tengok kesungguhan mak nak saya kahwin itu macam mana. Kalau dia dah paksa baru saya akan cari pasangan. Sekarang ini, mak saya masih tenang saja dan keputusan untuk berkahwin itu bergantung pada saya,” katanya.

Terdahulu, Zizan pernah dikatakan bercinta dengan Juliana Evans pada tahun 2012. Kemudian pada tahun 2013, Zizan menjalin hubungan cinta bersama Emma Maembong namun hanya mampu bertahan selama dua tahun sahaja.

×