Sejak semalam tular di media sosial memaparkan Datuk Jamal Abdillah sedang berkaraoke dan menjamah durian di sebuah ladang di Kampung Poh, Bidir, Perak, pada Jumaat lalu.
Seperti sudah dijangka, video tersebut menjadi bualan ramai apabila penyanyi lagenda tanah air itu didakwa melanggar SOP lebih-lebih lagi negara kini dalam tempoh PKP penuh.
BACA: Bakal Timang Anak Lelaki, Jamal Abdillah Pilih Nama ‘Zek’
Mengakui kesilapannya itu, Jamal memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Menurut Jamal, beliau ke Bidor, Perak atas urusan mendapatkan baja untuk bisnes kolam ikannya di Bukit Merah.
Namun, sampai sahaja di Bidor, seorang kawan baik mengundangnya untuk singgah ke sebuah dusun durian. Ujarnya, ketika tiba di dusun durian itu hanya empat orang berada disana dan diajak makan durian.
“Saya cuma mahu jaga hati kawan. Semasa saya tiba di sebuah sebuah rumah inap desa di dusun berkenaan, cuma ada empat orang di situ. Mereka ajak saya makan tengah hari dan dijamu dengan durian.
“Tapi tak lama kemudian, tiba-tiba sahaja tempat itu didatangi ramai orang. Kebetulan pula ada set karaoke dan mereka minta saya menyanyi. Saya rasa tak sampai hati nak tolak, demi menjaga hati, ditelan mati mak, diluah mati bapa, saya pun turuti permintaan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Jamal menegaskan beliau bukan mahu mempertahankan diri, peminat berhak untuk mengecam di atas apa yang berlaku serta akan memberi kerjasama jika diminta untuk beri keterangan kepada pihak polis.
“Saya akur perbuatan itu salah. Saya juga minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya akui memang salah saya sendiri sebab terlepas pandang. Tiada langsung niat nak langgar SOP,” katanya.