Pelakon Nur Fazura menjelaskan tindakannya mengulas mengenai isu sindiran seorang individu didakwa peminat tegar Neelofa di media sosial adalah demi membersihkan namanya.
Menerusi perkongsian di Instagram, Fazura menafikan penjelasan itu sengaja dilakukan untuk membuka aib sesiapa dan dia hanya menjawab soalan daripada wartawan.
BACA: Neelofa Sedia Bersemuka Dengan Fazura, Mahu Tamatkan Sengketa 13 Tahun
View this post on Instagram
“Tiada niat membuka aib sesiapa, tetapi jika dibiarkan, perkara tidak betul yang tumbuh akan terus melata. Dalam Faz sibuk menguruskan kehidupan sendiri, keluarga dan rancangan kerjaya, muncul lagi anasir yang tidak jemu menangguk pada air yang keruh.
“Dikongsikan ialah rakaman video sebenar ketika wawancara pada majlis pelancaran produk terbaharu, baru-baru ini untuk dinilaikan sendiri. Sejujurnya, Faz hanya menjawab soalan diajukan wartawan. Jika tidak dijawab, ceritanya lain pula nanti.
“Respon Faz kepada soalan berkenaan perkara ditularkan oleh peminat tegar individu lain, tetapi sekarang digambarkan seolah-olah Faz pula memulakannya. Untuk apa?,” tulisnya.
Sementara itu, Fazura turut menafikan wujud perang dingin antaranya dengan Neelofa seperti yang didakwa oleh bekas pengacara MeleTop itu.
Kata Fazura lagi, dia berhak untuk tentukan dengan siapa dia berkawan. Tambahnya lagi, jika tidak berkawan tidak bermakna bermusuh.
“Naratif ‘perang dingin’ yang digembar-gemburkan ini juga tidak betul dan tidak pasti apa niatnya. Sama juga seperti orang lain, Faz berhak menentukan dengan siapa Faz sesuai berkawan.
“Tidak berkawan, tidak semestinya memusuhi. Kini, izin suami dengan siapa Faz wajar berkawan juga wajib diberikan keutamaan,” tulisnya.
Perkongsian itu dikongsikan oleh Fazura selepas beberapa jam Neelofa berkongsikan bahawa dia sedia berdamai dengannya serta mahu menamatkan sengketa sejak 13 tahun lalu.