Tiada Halangan Ustaz Don Untuk Teruskan Berdakwah Dalam Program TV

Pendakwah terkenal Ustaz Don Daniyal Don Biyajid meluahkan rasa syukur dia tidak dihalang untuk terus berdakwah selepas perjumpaannya dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Isnin lalu.

Memetik Harian Metro, perkara itu dimaklumkan oleh pengurus kepada pendakwah itu yang dikenali sebagai Ana, Ustaz Don tiada masalah untuk berdakwah walaupun di dalam program di televisyen.

BACA: “Rehatkan Ustaz Don Satu Kerugian” 

“Perjumpaan Ustaz Don dengan Jakim berlangsung sangat baik. Malah, tiada halangan untuk Ustaz Don teruskan berdakwah walaupun di dalam program TV.

“Bagaimanapun, untuk kemunculan Ustaz Don dalam program Salam Baitullah, kami sedang menanti keputusan pihak tertinggi Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk kemasukan semula itu (selepas direhatkan),” katanya.

Difahamkan, Ustaz Don bakal bersiaran kembali di program Salam Baitullah pada malam ini. Program Salam Baitullah yang disiarkan di RTM sempena musim haji bermula 2 Jun sehingga 17 Jun ini.

Terdahulu, RTM telah mengambil keputusan untuk ‘merehatkan’ Ustaz Don daripada mengendalikan program Salam Baitullah. Ia susulan kontroversi berkenaan kenyataannya berhubung kisah hidup Nabi Muhammad.

Ketika bersiaran di sebuah stesen radio, Ustaz Don mendakwa Baginda pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani sebanyak tiga kali dan cinta pertama Rasulullah.

SUMBER: Harian Metro

×