Tetap Keluar Forteen Walaupun Sudah Berbaik

Setelah beberapa episod kemelut kumpulan Forteen dan Izzue Islam, akhirnya mereka dipertemukan empat mata berbincang. Menurut Izzue, beliau bersyukur segala perselisihan dapat diselesaikan namun keputusannya masih tetap.

BACA: “Saya Tak Campur Urusan Suami dan Forteen”

“Saya bersyukur kami dipertemukan untuk memulihkan keadaan. Masing-masing sudah meluahkan rasa tidak puas hati. Walaupun masih ada beberapa perkara, yang penting beberapa perkara dan persoalan sudah dirungkai”

“Saya masih lagi tetap dengan pendirian sebelum ini. Saya fikir ini adalah jalan yang terbaik agar kami tidak lagi berselisih faham dan kekal berbaik. Apa-apapun, doakan saya dan anggota Forteen berjaya di bidang masing-masing,” jelasnya.

Pertemuan terbabit dirancang menerusi segmen Suria Petang secara langsung di stesen radio Suria FM. Sesi luahan itu menyaksikan mereka berpelukkan dan menangis dengan apa yang sudah terjadi kebelakangan ini.

Pastinya berita ini menggembirakan peminat Forteen yang sedih melihat mereka bercakaran. Biarpun Izzue bukan lagi anggota Forteen, sekurangnya mereka sudah berbaik dan menjalani kerjaya masing-masing dengan damai. (rtky/w)

×