Jumaat lalu, perkongsian pengacara televisyen, Nadia Annuar mengejutkan ramai apabila tampil tidak lagi berhijab selepas memuat naik satu perkongsian sempena hari jadinya.
Sementara itu, menerusi perkongsian di Insta Story, Nadia berkata dia tidak kisah jika dirinya dikecam dan reda kerana itu adalah khilafnya sendiri.
BACA: Walaupun Bergelar Jutawan, Nadia Annuar Selesa Hidup Sederhana
“Takpelah, kecamlah sepuas hati. Kalau rasa dah jatuh terduduk tak cukup. Pijaklah sampai puas. Kalau belum puas jugak, pijak sampai mati. Saya reda sebab semua ini kekhilafan saya sendiri,” tulisnya.
Nadia turut memohon maaf jika khilafnya itu membuat ada pihak yang benci pada dirinya serta mengatakan banyak perkara yang dilalui olehnya namun tidak dapat kongsikan kepada umum.
Dalam pada itu, menerusi perkongsian lain, Nadia turut meminta orang ramai tidak mengaitkan keputusannya itu dengan ibunya, usahawan popular, Zaiton Hassan atau lebih dikenali sebagai Kak Ton.
Kata Nadia lagi, ibunya seorang wanita yang hebat dan telah membesarkan dirinya dengan didikan yang baik serta memberikan nasihat.
“Satu lagi saya minta sangat, tolong jangan kaitkan dengan ibu saya atau ahli keluarga saya yang lain. Ia bukanlah salah mereka tetapi keputusan saya sendiri.
“Ibu saya adalah seorang insan hebat. Dia sudah membesarkan saya dengan baik dan sudah memberi nasihat, malah adik saya juga,” tulisnya.