Pelakon Ashraf Muslim menitipkan nasihat kepada individu yang mahu mendirikan rumah tangga kembali kepada asas perkahwinan dengan membetulkan niat kerana Allah.
Memetik Kosmo, Ashraf berkata berkata, setiap pasangan perlu tahu tanggungjawab dan rumah tangga yang ingin dibina bukan sekadar atas dasar cinta.
BACA: “Terima Kasih Kedua-Dua Isteriku Sentiasa Bantu Dalam Susah Senang” – Ashraf Muslim
“Ramai dalam kalangan kita yang berkahwin atas dasar suka, cinta dan mahu berkeluarga, tetapi semua itu salah. Kita perlu berbalik kepada asas semula dengan niat kerana Allah SWT. Dari situ, pasangan suami isteri akan mula sedar peranan dan tanggungjawab yang sepatutnya digalas mereka.
“Jadi, apabila mereka tahu peranan masing-masing, cara untuk menjaga hubungan itu bagi saya tidak kisahlah berkahwin dua, tiga atau empat, asalkan hubungan antara satu sama lain perlu dijaga dengan betul,” katanya.
Ditanya mengenai kontroversi pelakon Aliff Aziz, Bella Astilah dan Ruhainies, Ashraf berkata ianya adalah ujian buat mereka kerana dia juga pernah melalui situasi sama.
“Proses yang mereka lalui itu, saya pernah lalui sebelum ini cuma pengakhiran mereka kita tak tahu macam mana. Jadi apa yang saya lihat sebenarnya ialah dugaan untuk kita yang melihat dan semua orang, ambillah yang terbaik sebab kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang.
“Itu mungkin dugaan buat Aliff dan Ruhainies, jadi biarlah mereka ambil yang positif untuk berubah menjadi lebih baik,” katanya.
Ashraf berkahwin dengan isteri pertama Noor Dayana Lokman pada 30 Ogos 2011. Kemudian Ashraf mendirikan rumah tangga bersama Wan Sakinah Ahmad pada 7 Julai 2013. Pelakon itu dikurniakan empat cahaya mata bersama kedua-dua isterinya iaitu Sarah, Anas, Adam dan Safiyyah.
SUMBER: Kosmo