fbpx

“Minta maaf Pak Tam, outlet kita kena tutup hujung bulan ni sebab sales makin kurang,” itulah kata kata yang meremukkan hati Rustam Ramli, 61 tahun atau lebih senang dipanggil Pak Tam dikalangan rakan sekerjanya yang rata rata jauh lebih muda dari usianya.

Pak Tam mengakui terpaksa mencari kerja walaupun sudah berusia kerana perlu mencari duit untuk menyara hidup selain tiada duit simpanan mahu pun KWSP yang boleh menjadi tempat bergantung selepas bersara.

“Pak Tam jadi cleaner di sini secara part-time sahaja — cukuplah buat belanja makan dan sewa bilik setiap bulan,” jelas beliau yang tidak pernah berumahtangga kerana tidak bernasib baik dalam pencarian jodoh.

“Selepas ni tak tahu mana nak cari kerja lagi sebab tak banyak tempat nak ambil pekerja macam umur Pak Tam ni, lagi pun (saya) bukan boleh kerja hari hari sebab ada sakit belakang yang agak teruk,” tambahnya lagi.

Hilang Kerja Kerana Gerakan Boikot

Pak Tam adalah salah seorang pekerja di rantaian restoran makanan segera (fast food) yang terkesan dengan gerakan boikot yang dijalankan oleh rakyat Malaysia sejak penghujung tahun lalu.

Pemilik utama restoran tempat kerja Pak Tam telah menutup lebih 100 cawangan di seluruh Malaysia dan menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang mencari rezeki hilang punca pendapatan dalam sekelip mata.

“(Pak Tam) rasa kerja ni dah cukup halal buat kami semua tetapi apakan daya ada gerakan boikot yang buat saya dan ramai kawan lain terjejas sumber rezeki,” luah Pak Tam tentang nasib dirinya ketika ini.

Restoran Tutup, Pembekal Pun Terkesan

Tidak hanya Pak Tam dan rakan rakan tetapi ramai lagi yang terjejas. Kesan boikot ini turut dirasai oleh pekerja dalam rantaian bekalan restoran seperti pembekal ayam, roti, dan sayur-sayuran.

Kebanyakan daripada mereka juga adalah rakyat tempatan yang beragama Islam. Mereka semua kehilangan pelanggan utama mereka apabila restoran ditutup?. Kehidupan mereka yang sudah sedia sukar menjadi semakin berat.

“Dengar Suara Kami Yang Terkesan…”

Pak Tam juga meluahkan yang beliau kini berharap kepada kerajaan dan masyarakat amnya untuk meneruskan hidup dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Kalau mereka (kerajaan) boleh fikirkan cara untuk kami dapat kerja semula atau beri bantuan kewangan sementara kami dapat bekerja semula, itu lebih baik dan memang diharapkan sangat,” ujar Pak Tam.

Pak Tam juga menyatakan yang beliau faham akan keperluan untuk membuat gerakan boikot kerana prihatin dengan nasib saudara kita di Palestin namun merayu kepada rakyat Malaysia memikirkan tentang kesannya kepada golongan berusia dan susah seperti dirinya.

“Pak Tam sokong gerakan boikot dan niat baik orang kita tetapi kalau (sampai) menyusahkan orang macam Pak Tam ni, kita semua kena fikir masak-masak,” tambahnya lagi.