“Suami Sudah Masak, Tahu Saya Wanita Berjiwa Liar”

Semua sedia maklum mengenai kelantangan pelakon veteran, Ellie Suriaty mempertahankan UMNO bukanlah perkara baru. Disebalik semangatnya itu, ada segelintir pihak menyifatkan tindakannya itu hanyalah lakonan kerana sudah dibayar.

Ditanya sama ada kelantangannya bersuara itu mendapat sokongan suami, Ellie mengakui suaminya, pelakon Azri Iskandar risau. Namun, Ellie memberitahu, suaminya lebih mengenali siapa dirinya.

BACA: “Sokong UMNO Bukan Lakonan,Saya Benar Benar Marah”

“Azri tahu mengenai apa yang saya lakukan tetapi pada masa yang sama, dia risau. Sebagai suami, dia tak mahu sebarang kejadian buruk bakal terjadi kepada saya.

“Namun begitu, dia sudah masak dengan perangai saya… Dia sudah sedia maklum dan tahu saya merupakan seorang wanita yang berjiwa ‘liar’…” seloroh Ellie.

Ujarnya lagi, walaupun tindakannya itu mendapat pebagai kecaman dari masyarakat, malah kalangan selebriti juga turut mengecam beliau, Ellie tidak mahu mengambil pusing tentang kritikan negatif yang diterima.

“Saya tahu ada yang mengecam tindakan saya… Tetapi bagi saya, hanya 15 peratus orang sahaja yang melihat ia dari persepsi negatif. Selebihnya, baki 85 peratus memahami apa yang saya perjuangkan dan menyokong tindakan saya,” katanya.

×