Selepas pelakon Nynaa Harizal memaklumkan membuat tuntutan cerai, giliran suaminya pula, Mohamed Fahmi pula tampil memberi kenyataan dalam satu sidang media hari ini.
Fahmi mendedahkan isterinya mengemukakan tujuh syarat pelik jika mereka bersemuka. Menurut Fahmi, dia gembira apabila menerima panggilan telefon daripada isterinya, namun perasaannya berubah selepas mendengar syarat tersebut.
BACA: Nafi Diculik Keluarga, Nynaa Harizal Fail Cerai
Tujuh syarat yang diletakkan, yang pertama mesti berjumpa di pejabat peguamnya di Johor Bahru, dia wajib datang seorang diri, dilarang merakam sebarang perbualan audio atau video dan tidak dibenarkan membawa pemandu peribadi.
Tiga lagi syarat lain termasuklah, tidak boleh membawa pengawal peribadi, tidak dibenarkan membawa ahli keluarga dan dilarang sama sekali hadir bersama wakil media.
“Memang benar 12 November lalu Nynaa ada call (hubungi) saya dan sempat bercakap dengan saya seperti biasa.
“30 saat pertama itu memang saya gembira dengar suaranya. Tapi lepas itu saya rasa ada something (sesuatu) yang kurang baik selepas saya menyentuh mengenai pertemuan bersamanya secara bersemuka,” katanya.
Mengakui kesan dan terkejut, Fahmi berkata dia mengetahui bahawa syarat-syarat tidak berasas itu bukan ditetapkan oleh isterinya sebaliknya oleh pihak peguam.
“Tujuh syarat diberikan kepada saya. Saya tahu syarat tersebut bukan dia sendiri yang tetapkan tetapi sudah disusun atur oleh peguamnya. Saya memang agak kesal dan terkejut dengan syarat-syarat tidak berasas yang ditetapkan itu,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi mengakui hubungannya dengan mentua mula bergolak selepas berkahwin. Tidak dapat memastikan punca sebenar, Fahmi berkata berlaku beberapa isu antara mereka antaranya melibatkan faktor kewangan.
“Sebelum berkahwin, hubungan saya dengan keluarga dia memang sangat baik dan kami rapat. Tapi selepas kami bertunang, keluarga dia terutama ibu dia lain sikit dari segi layanan. Sejujurnya memang ada isu antara saya dan ibunya.
“Ada beberapa isu dan salah satunya melibatkan kewangan. Tapi saya tak dapat mengesahkan isu itu menjadi punca sebab saya sendiri tak tahu apa sebenarnya masalah yang menyebabkan hubungan saya dengan keluarganya jadi begini,” ujarnya.
Terdahulu, Mohamed Fahmi mendakwa isterinya ‘dilarikan’ oleh bapa mentuanya ketika terbabit dengan penggambaran sebuah drama pada 3 November lalu.
Bagaimanapun, semalam Nynaa menafikan dakwaan dirinya diculik oleh keluarganya sebelum dia membuat tuntutan cerai.