Siti Nurhaliza Akur Dikompaun, Hormat Keputusan Pihak Berkuasa

Dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika majlis tahnik anak keduanya baru-baru ini, Datuk Seri Siti Nurhaliza akur dengan keputusan tersebut.

Kata Siti lagi, beliau dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menghormati keputusan pihak berkuasa serta berharap semuanya diselesaikan dengan baik.

BACA: Siti Nurhaliza, Datuk K Dikompaun RM10,000

“Kami hanya mendapat tahu menerusi berita dan dimaklumkan pihak media mengenai kompaun dikenakan. Kami belum mendapat pemberitahuan secara rasmi daripada polis.

“Apapun, kami hormat dan akur dengan apa juga yang diputuskan pihak berkuasa dan berharap semua ini selesai dengan baik,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan penceramah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Iqbal turut dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang.

Turut dikenakan kompaun adalah tiga anak Datuk K iaitu Muhammad Adif Khalid, Muhammad Aazief dan Muhammad Asyraf masing-masing dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang.

×