Shuib Mohon Maaf, Mengaku Silap Buka Aib Sendiri

Pelawak dan juga usahawan popular, Shuib mengaku kesilapan dan memohon maaf susulan perkongsian kisah silamnya yang pernah terbabit dalam aktiviti perjudian sehingga mengalami ketagihan.

Memetik Harian Metro, Shuib berkata perkongsian itu dibuat untuk memberi pengajaran kepada orang ramai namun dia menyedari kisah membuka aib tidak seeloknya didedahkan kepada umum.

BACA: Shuib Dedah Pernah Berhabis Duit Main Judi, Syukur Dah Berhenti

Sementara itu, Shuib berkata dia juga akan menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran dan akan lebih berhati-hati selepas ini apabila berkongiskan sesuatu.

“Jadi, tindakan yang dilakukan itu adalah satu khilaf daripada pihak saya dan saya akan mengambil pengajaran serta lebih berhati- hati ketika bercerita mengenai perkara silam.

“Saya juga sedar kadang-kadang niat tidak menghalalkan cara. Jadi, saya ambil maklum sebab ada cara sebenarnya kalau nak bercerita mengenai benda yang tak baik untuk dijadikan pengajaran mengikut Islam,” katanya.

Dalam pada itu, meskipun dikecam teruk susulan perkongsiannya itu, namun Shuib berharap orang ramai menonton podcast tersebut secara penuh sebelum menghukum dirinya.

“Kalau tonton podcast ini dari awal hingga akhir di YouTube, ramai yang akan mendapat pengajaran sebab ia daripada kisah benar bukan cerita rekaan.

“Kisah ini pula dilakukan oleh orang yang dikenali sekali gus lebih dekat untuk orang terima. Kalau ikutkan ramai penonton yang meninggalkan komen positif termasuk berkongsi pengalaman mereka yang serik dengan aktiviti tidak berfaedah dan mendatangkan dosa ini.

“Tapi kalau lah mereka boleh pergi ke YouTube dan menonton podcast itu dari awal sebenarnya kami sudah meletakkan ‘peringatan’ supaya tidak terikut dengan gejala ini dan perkongsian ini bertujuan memberi pengajaran,” katanya.

SUMBER: Harian Metro

×