Shuib Mohon Henti Sebar Rakaman Suara Keadaan Siti Sarah

Menerusi satu perkongsian sebentar tadi, pelawak Shuib Sepahtu menyeru orang ramai supaya berhenti berkongsikan rakaman audio mengenai keadaan isterinya, Siti Sarah yang dikhabarkan sedang kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Dalam entri tersebut, Shuib turut menjelaskan rakaman audio tular itu bukan keadaan terkini mengenai isterinya tetapi apa yang berlaku Jumaat lalu.

BACA: “Saya Dah Rasa Takda Harapan Tapi Allah Bagi Keajaiban”

“Berkenaan ‘voice note’ yang viral (tular) mengenai Siti Sarah, itu adalah keadaannya pada hari Jumaat, 6 Ogos lalu.

“Jadi saya mohon tolong hentikan kongsi dan padam rakaman audio itu di mana-mana platform media sosial,” katanya.

Menurut Shuib lagi, keadaan isterinya masih lagi sama dan sedang ditidurkan serta memohon orang ramai terus menitipkan doa buat Siti Sarah.

“Keadaan terkini Sarah masih lagi sedang ditidurkan dan saya mohon terus mendoakan Sarah diberi kekuatan dan kesembuhan. Saya juga mendoakan kepada semua agar dilindungi, diberkati dan dirahmati Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman audio mengenai keadaan Siti Sarah yang dilaporkan sudah tiada harapan selepas dimaklumkan oleh doktor yang merawat penyanyi berkenaan.

×