“Sharnaaz Yang Dulu Lagi Teruk, Sekarang Saya Lebih Berhemah”

Sebut sahaja nama Sharnaaz Ahmad, sememangnya pelakon itu terkenal dengan sikapnya yang lantang bersuara dan memberi kritikan pedas dalam sesuatu isu panas.

Meskipun ramai yang tidak suka dengan sikap mulut lantang, namun ada yang mempersoalkan Sharnaaz juga mudah sentap jika ada pihak yang lakukan perkara sama terhadapnya.

BACA: Sharnaaz Ahmad Tegur Caprice, Ebit Lew & Nadir Minta Selesai Cara Baik

Kata Sharnaaz dia sudah terbiasa dengan bersikap terus terang dan tidak pandai berselindug. Namun jika dibandingkan dengan sekarang, dia kini lebih berhemah.

“Nak kata saya bersikap lantang, tidak juga. Jika nak dibandingkan dengan Sharnaaz yang dahulu, memang lagi teruk. Saya cakap tidak berlapik langsung, cuma saya lebih berhemah sekarang.

“Bagi saya, apabila menggunakan pendekatan seperti ini, mesej lebih mudah disampaikan. Saya harap mereka boleh terima sikap lantang ini. Bukanlah niat untuk sengaja mengguriskan hati sesiapa, cuma mahu memberikan kesedaran.

“Jika mengenali individu berkenaan, saya akan hantar mesej secara peribadi. Saya bukan sengaja mahu bersikap lantang bersuara, tetapi saya memang tidak pandai cakap ‘cover line’. Bagaimanapun, saya anggap netizen lagi kasar berbanding saya,” katanya kepada BH Online.

Ditanya ada ketika teguran diberikan agak pedas sehingga boleh menyebabkan ada pihak sakit hati, Sharnaaz berkata dia hanya menjadi diri sendiri.

“Saya hanya menjadi diri sendiri dan tidak suka hipokrit. Jika pengikut nak tengok benda yang baik-baik, banyak akaun lain yang boleh diikuti. Secara peribadi, saya bukan seperti itu. Jika tidak boleh terima dan terlalu sensitif, lebih baik jangan ada media sosial,” katanya.

Bagaimanapun, Sharnaaz tidak menafikan ada perkara membuatkan dirinya cepat koyak jika ada netizen yang bersikap keterlaluan lebih-lebih lagi jika mengaitkan ahli keluarga.

“Sesetengah netizen sangat melampau. Daripada buang masa melayan komen menyakitkan hati dan mereka suka mahu mengheret ahli keluarga termasuk anak, itu memang saya tidak boleh terima.

“Apabila berdepan dengan situasi ini, lebih baik saya ambil tindakan memadam komen dan sekat. Itu lebih baik daripada saya terus rasa sakit hati melihatnya.

“Bagi saya, mereka yang ambil pendekatan padam dan sekat adalah seorang yang hebat. Apa yang saya belajar, selalunya mereka ini hanya berani dalam telefon sahaja, tetapi takut mahu berdepan,” katanya.

×