Pelawak Saiful Apek berkata dia mengakui kecewa apabila hasrat untuk meraikan kepulangan sahabat baiknya iaitu Yassin Yahya sebelum Aidilfitri tidak kesampaian.
Memetik BH Online, Saiful berkata ada beberapa masalah seperti visa serta prosedur perlu dijalani oleh Yassin sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia.
BACA: “Yassin Dah Khatam 20 Juzuk Al-Quran, Berat Badan Naik Dari S Ke M” – Saiful Apek
“Sepatutnya Yassin sudah balik sebelum Aidilfitri, namun ia agak rumit kerana membabitkan antara dua kerajaan. Ada beberapa masalah dari segi visa, tiket dan sebagainya.
“Selain itu, Yassin juga perlu melalui satu lagi proses pemindahan depoh. Saya tak pasti prosedurnya, tetapi apa yang saya boleh cakap, insya-Allah dalam masa yang terdekat ini.
“Cuma, saya kecewa jugalah sebab saya sudah uar-uarkan Yassin akan pulang sebelum Aidilfitri. Saya rasa sangat gembira bagi pihak keluarganya termasuk anggota Senario,” katanya.
Sementara itu, Saiful berkata dia tidak sabar menantikan kepulangan sahabatnya itu dan mahu mendengar sendiri penjelasan tentang apa yang berlaku.
“Sebaik sahaja tiba, saya akan sambut Yassin. Bagaimanapun, kita juga kena beri Yassin berehat dulu. Saya pasti ada banyak benda yang dia mahu kongsikan, jadi saya tak sabar.
“Bukan apa kami tak mahu berlarutan andaian atau tohmahan bukan-bukan. Ia akan datangkan dosa kering kepada orang lain. Saya mahu semuanya berakhir. Jadi, rasanya lebih afdal sekiranya ‘tuan badan’ sendiri bercerita apa yang berlaku di sana,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelawak ditahan di Jeddah, Arab Saudi sejak Oktober tahun lalu atas kesalahan memiliki bahan terlarang iaitu dadah jenis ganja.
SUMBER: BH Online