Penyanyi Rohana Jalil yang menerima rawatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor akibat kebocoran usus sejak April lalu masih belum sembuh.
Memetik mStar Online, pengurusnya yang mahu dikenali sebagai Jepun memaklumkan Rohana berada dalam keadaan stabil namun tubuhnya lemah.
BACA: Rohana Jalil Sudah sedar Tapi Masih Kritikal Dalam ICU
“Sekarang ini doktor tidak boleh buat apa-apa kerana keadaan Rohana terlalu lemah dan kalau nak buat prosedur rawatan seterusnya pun agak susah.
“Rohana tak boleh makan atau minum dan hanya bergantung kepada antibiotik untuk sembuhkan usus yang bocor itu,” katanya.
Sementara itu, pengurusnya itu memaklumkan Rohana tidak lagi menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana penggunaan mesin perubatan juga sudah tidak mampu merawat penyanyi itu.
“Dia sudah tidak boleh dirawat di ICU kerana penggunaan mesin-mesin rawatan semuanya tidak lagi memberi kesan terhadapnya.
“Disebabkan usus telah bocor, kuman-kuman semua telah menyerang ke organ-organ seperti paru-paru dan buah pinggang.
“Apabila kuman dah merebak ke organ utama, doktor kata ada potensi untuk jantungnya berhenti pada bila-bila masa kerana dia pun sudah tidak kuat untuk melawan penyakitnya itu,” katanya.
Bercerita mengenai punca masalah kesihatan alami Rohana, Jepun berkata penyanyi itu pernah melakukan pembedahan bariatrik bagi masalah gastrik dua tahun lalu atas nasihat doktor.
“Cuma kesilapannya apabila doktor tidak memberitahu kami keadaan usus Rohana selepas melakukan pembedahan itu.
“Doktor hanya memberitahu usus ada luka dan kemerah-merahan tapi doktor tidak memaklumkan sebenarnya ia sudah menjadi teruk,”katanya.
Kata pengurusnya lagi, doktor hanya memberikan ubat antibiotik bagi merawat usus Rohana dan melakukan rawatan susulan tanpa diminta merujuk ke hospital pakar.
Jepun berkata dia turut kesal dengan tindakan pihak hospital kerana tidak memaklumkan perkara sebenar kepada mereka.
“Sepatutnya dia sebagai pakar perut menasihatkan kami untuk merujuk kepada doktor pakar. Namun, dia ambil tindakan sendiri dan meneruskan dengan rawatan susulan yang mana tidak juga memberikan kesembuhan kepada Rohana,” katanya