Terpalit dengan beberapa dakwaan kes jenayah sehingga dijatuhkan hukuman penjara beberapa tahun lalu, Farid Kamil mengakui pengalaman hitam itu banyak mengajarnya siapa kawan dan lawan.
Menurut Farid, sikap sesetengah rakannya lebih terserlah apabila gelaran Datuk ditarik balik berikutan kontroversi terpalit dirinya.
BACA: Hukuman Penjara 13 Bulan Farid Kamil Diganti Denda RM5,500
“Jika sebelum ini ramai mengaku kawan, tetapi selepas itu, ada yang mula menjauhkan diri. Namun, tidak mengapa, itu semua adalah lumrah kehidupan. Sekelumit pun saya tidak rasa terkilan atau menyimpan dendam dalam hati.
“Saya hanya mahu melihat perkara ini daripada sudut positif sahaja. Jujurnya, pangkat Datuk yang saya terima sebenarnya merenggangkan hubungan saya dengan rakan yang memang ikhlas bersahabat dengan saya.
“Contohnya, ramai memaklumkan segan dan berasakan diri tidak layak berkawan dengan saya disebabkan gelaran selepas berlaku pengalaman hitam ini,” katanya.
Kata Farid lagi, kontroversi itu mendedahkan dirinya kepada banyak dakwaan negatif namun dia enggan ambil peduli tentang pandangan orang.
“Tidak dinafikan, kontroversi berlaku turut mendedahkan saya kepada banyak dakwaan negatif. Antaranya, saya suka berkhayal atau ‘lalok’.
“Tuduhan ini tidak benar sama sekali. Saya tak rasa pun berkeadaan sedemikian ketika berdepan atau bercakap dengan orang. Namun, terserahlah apapun persepsi orang terhadap saya. Saya sudah malas mahu mengambil peduli,” katanya.