Sebelum in hangat diperkatakan mengenai perkahwinan pelakon jelita Hannah Delisha dan suaminya Imam Shah yang didakwa tidak mendapat restu ibu pelakon itu.
Isu itu dilihat sudah reda, Hannah berkata tidak manis jika hal peribadi dikongsikan kepada umum serta dia mahu menjaga aib.
BACA: Reda Isu Keluarga, Suami Kongsi Video Hannah Delisha
“Saya percaya ramai lagi di luar sana yang ada masalah masing-masing. Mungkin bukan masalah keluarga tetapi membabitkan hal kewangan, peniagaan, perhubungan dan sebagainya. Tapi inilah masalah saya.
“Jadi saya tidak mahu buka aib sesiapa. Sebolehnya saya tak nak kongsikan apa-apa cerita pun. Cuma, saya kini bahagia bersama suami.
“Apa yang boleh saya harapkan ialah doa yang baik-baik. Jangan fikir negatif atau pun buat spekulasi sendiri. Kita semua ada masalah, cuma situasinya sahaja yang berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, suami Hannah yang juga pelakon di Singapura, Imam Shah berkata dia reda dengan apa yang berlaku serta saling menyokong antara satu sama lain.
Ditanya mengenai kehidupan rumah tangga, Hannah menjelaskan tiada banyak perbezaan selain dia dan Imam saling melengkapi.
“Saya bersama suami sebelum masuk industri seni di Malaysia lagi, kita pun sudah lama kenal. Sebaik sah bergelar suami isteri, bezanya ialah kami ada di antara satu sama lain setiap masa,” katanya.
Disoal mengenai perancangan zuriat, Hannah berkata dia dan suami tidak menolak seandainya dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat.
“Kami percaya kepada rezeki, tidak mahu merancang. Kalau ada rezeki, adalah. Tiada sasaran pun kerana kami sukakan kanak-kanak, terutamanya Imam,” kata Hannah.
Terdahulu, pasangan selebriti ini mengejutkan ramai apabila mendedahkan mengenai perkahwinan mereka di laman media sosial masing-masing pada 18 Februari lalu.