Penyanyi Shila Amzah menegaskan lelaki yang panas baran serta kaki pukul tidak akan meninggalkan tabiat itu dengan mudah.
Menerusi perkongsian di Insta Story, Shila dilihat memuat naik semula video temu bual pelakon Zahnita Wilson yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
BACA: Shila Amzah Trauma Dengan Pulau Pinang, Kongsi Foto Lama Mata Lebam
Menurut Shila lagi, dia turut menitipkan nasihat agar tidak mudah tertipu dengan mana-mana lelaki yang mempunyai sejarah memukul wanita.
“Saya dah cakap banyak kali, kaki pukul tak akan pernah berubah. Orang yang kaki pukul ini tak akan berubah sama ada muka hensem atau tak.
“Jangan biarkan anda dikaburi fizikal mereka terutamanya bila anda tahu dia ada sejarah pernah pukul bekas kekasih mahupun sebelum berkahwin ataupun sekadar jadi kekasih. Lari,” tulisnya.
Sementara itu, Shila berkata lelaki kaki pukul bijak memanipulasi pasangan untuk kekal setia bersama mereka serta cenderung membuatkan pasangan hilang kawan untuk bergantung pada mereka.
“Sesetengah orang akan kekalkan hubungan dengan pendera sebab selalu ingat tiada jalan keluar. Pendera pandai, dia akan buat anda buang semua kawan seterusnya bergantung 100 peratus kepadanya
“Ketika baik, memang dia akan layan anda seperti seorang puteri. Tapi bila datang gila dia, masa itu mental dan fizikal anda akan didera lagi dan ianya akan berlarutan.” tulisnya.