Saharul Ridzwan Hadiahkan Honda Jazz Untuk Isteri

Sempena ulang tahun keempat perkahwinan yang bakal disambut pada 16 September depan, pelakon Saharul Ridzwan membuat kejutan dengan menghadiahkan isterinya, Deena Emir sebuah kereta jenis Honda Jazz.

Berkongsikan perkara itu menerusi Instagram, Deena akui terkejut dan terharu dengan pemberian suaminya itu. Deena berkata ulang tahun perkahwinan mereka dua minggu lagi, namun dia mendapat kejutan awal.

BACA: Saharul Ridzwan Beli Rumah Baru, Dapat Seperti Dalam Doa

Sementara itu, Saharul menerusi Instagramnya meluahkan rasa syukur dikurniakan isteri yang dianggap pembawa rezeki untuk keluarga.

Saharul turut menasihatkan kaum lelaki agar memperbaiki hubungan suami isteri jika mahu rezeki melimpah ruah dan akan sentiasa diberkati. Malah, Saharul berkata belanja isteri dan keluarga adalah sedekah paling besar.

“Kalau rasa isteri itu beban, maka ia akan jadi beban dalam hidup. Tapi jika anggap isteri sumber asbab rezeki, ia akan jadi ‘magnet rezeki’.

“Nak rezeki sentiasa datang, dahulukan isteri lebih daripada orang lain sebab bidadari kita tak pernah berhenti mendoakan dan dia adalah punca rezeki dalam rumah tangga,” katanya.

“Untuk semua suami, sayangilah isteri anda supaya dia sentiasa gembira dan berdoa untuk kita. Syukur pada Allah pemberi rezeki. Tiada yang boleh beri sesuatu melainkan Allah. Terima kasih Allah,” katanya.

Saharul dan Deena berkahwin pada 16 September 2016 dan dikurniakan cahaya mata pertama bernama Muhammad Luth Ali, kini berusia tiga tahun. Jun lalu, mereka menimang anak kedua iaitu bayi perempuan yang dinamakan Fateema Azzahra.

×