Ahad lalu, program Big Stage 2022 melabuhkan tirai apabila Elica Paujin dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

Dijemput sebagai tetamu program MeleTOP, Elica berkata pada awalnya dia tiada perasaan untuk menyertai Big Stage, namun dia berfikir panjang ini mungkin peluang untuk mencipta nama semula.

BACA: Elica Paujin Juara Big Stage 2022, Bawa Pulang RM100,000

“Awal-awal memang saya tiada perasaan untuk menyertai Big Stage. Sebelum ini, secara jujurnya saya memang jarang tengok Big Stage.

“Tapi bila dapat tawaran untuk sertai Big Stage, saya fikir panjang untuk gunakan peluang ini untuk cipta semula nama saya yang sudah gelap di industri,” katanya.

Ditanya oleh hos Nabil Ahmad sama ada dia mempunyai kaitan dengan penyanyi Dayang Nurfaizah kerana wajah seiras, Elica berkata ramai mengatakan wajahnya seperti pelakon, Zahirah Macwilson.

“Ramai orang cakap sama macam Zahirah Macwilson,” katanya.

Dalam pada itu, Erra Fazira selaku hos jemputan bertanyakan apa keistimewaan mikrofon milik Hael Husaini yang digunakan oleh Elica ketika pentas akhir itu.

Elica berkata tiada perbezaan ketara tetapi kualiti bunyi dan suara lebih jelas ketika menggunakan mikrofon tersebut.

“Tidaklah ketara sangat perbezaan, tetapi kualiti bunyi yang membuatkan suara lagi jelas kedengaran,” katanya.

×