Pelakon Puteri Sarah meluahkan rasa syukur hubungannya dengan bekas suami, Syamsul Yusof lebih baik selepas mereka sah bercerai pada 14 Jun lalu.
Memetik mStar Online, Puteri Sarah berkata dia dan Syamsul sering berhubung mengenai anak-anak. Malah, Sarah berkata Syamsul juga kerap meluangkan masa dengan Syaikhul dan Sumayyah.
BACA: “Tiada Masalah Jika Puteri Sarah Terus Bergaya Cantik, Kemas, Sopan” – Yusof Haslam
“Selepas apa yang berlaku, Syamsul lebih kerap berjumpa anak-anak. Hubungan saya dengan dia juga lebih baik dan kami selalu berhubung memberitahu perkembangan anak-anak.
“Saya melihat ia satu perkembangan yang baik dan tidak lagi seperti dahulu. Anak-anak juga sangat gembira, jadi saya mahu terus kekal begini,” katanya.
Sementara itu, Puteri Sarah berkata dia dan Syamsul mengambil pendekatan untuk tidak menceritakan masalah kepada anak-anak mereka.
“Tiada sebarang pertanyaan daripada anak-anak tentang apa yang berlaku. Biarlah mereka tahu secara natural. Anak-anak pun tidak terasa ketiadaan bapa sebab Syamsul selalu ada.
“Kalau boleh saya nak terus rapatkan hubungan Syamsul dan anak-anak. Kami pun tidak menetapkan tempoh masa untuk berjumpa anak,” katanya.
Dalam pada itu, Puteri Sarah berkata dia merancang untuk mengerjakan umrah sekali lagi selepas habis tempoh edah sekaligus memulakan hidup baru.
“Umrah adalah cara terbaik untuk saya mulakan hidup baru. Saya berdoa dan healing,” katanya.