Pelakon Puteri Sarah memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap madunya Ira Kazar, kakaknya, Yasmin serta bapa mereka yang juga pelakon veteran, Kazar Saisi.
Memetik Harian Metro, Ira Kazar serta keluarganya perlu menjawab kepada Mahkamah Sesyen berhubung tindakan mengingkari perintah injuksi yang dikeluarkan terhadap mereka pada Julai tahun lalu.
BACA: Puteri Sarah Masuk Hospital, Mohon Maaf Buat Peminat Di Singapura
Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah berkata Hakim Norakhmar Mohd Sani memberikan kebenaran itu ketika pengurusan kes secara dalam talian hari ini.
Susulan kebenaran itu, Akberdin menjelaskan, pihaknya perlu menyerahkan sesalinan permohonan komital berkenaan kepada Ira, Kazar dan Yasmin.
Terdahulu, dalam perintah injuksi diperoleh Puteri sarah pada Julai tahun lalu menghalang Ira atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengannya daripada menjejaskan ketenteraman dan kedamaian Puteri Sarah dan keluarganya serta keluarga mentuanya termasuk suaminya.
Ira juga dihalang daripada mendekati atau berada dalam jarak 500 meter daripada Puteri Sarah, keluarganya dan keluarga mentuanya, suaminya atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengannya (Puteri Sarah).
Perintah injunksi itu adalah susulan daripada tuntutan saman difailkan Puteri Sarah terhadap madunya pada Jun 2022, atas dakwaan mengganggu kedamaian rumah tangganya.