Pendakwah bebas yang juga Pencetus Ummah Abu Sufyan atau PU Abu berkongsikan rumah tangganya kini bahagia dengan dua isterinya iaitu Ain Afini dan Hana Azraa.
Memetik Utusan Online, berjaya menyatukan semula kedua-dua isteri, PU Abu meluahkan rasa syukur mampu menara kelima-lima anaknya.
BACA: Hana Azraa Buat U-Turn, Berbaik Semula Dengan PU Abu
“Saya ada dua isteri sekarang. Isteri pertama sudah lama saya rujuk semula. Isteri pertama, Ain Afini, manakala isteri kedua ialah Hana Azraa.
“Setakat ini, Alhamdulillah. Kedua-dua isteri pun berniaga. Selain bekerja dengan syarikat umrah, saya juga ada buat pekerjaan lain seperti khidmat latihan dan konsultansi seperti program motivasi untuk syarikat korporat dan institusi pendidikan.
“Adapun kenyataan daripada mana-mana pihak, kenyataan yang benar adalah daripada saya sendiri. Sebabnya, segala isu berkaitan cerai, rujuk datang dari saya. Sayalah pelafaznya bukan orang lain,” katanya.
Sementara itu, PU Abu berkata dia belum ada kesempatan untuk beraya bersama kedua-dua isteri kerana sering berada di tanah suci atas urusan kerja.
“Setakat ini belum ada kesempatan beraya bersama sebab saya bekerja di luar negara, banyak berulang-alik ke tanah suci. Ramadan sampai Syawal di sana.
“Saya kerja di Madinah hampir setahun, dari bulan Muharam sampai Syawal di sana dan akan balik Malaysia tiga bulan sekali,” katanya.
Dalam pada itu, PU Abu turut berkongsikan tips poligami iaitu tahap kesabaran perlu tinggi lebih-lebih lagi suami merupakan pemimpin rumah tangga.
“Lelaki tahap kesabarannya perlu tinggi. Sabar, sabar dan sabar. Perkahwinan adalah soal suami dan isteri dalam membentuk keluarga bahagia.
“Selain itu, jangan pernah ambil berat sebarang kenyataan daripada pihak luar. Sebab bila baca akan buat kita melenting dengan tulisan netizen. Saya ini sampai tahap sudah lali dengan kecaman,” katanya.