Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) baru-baru ini mengumumkan penambahan 1 bilion unit Skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) untuk ditawarkan bagi langganan umum, sekaligus meningkatkan komitmennya untuk memberi peluang kepada lebih ramai Bumiputera untuk mempunyai pemilikan benefisial ke atas pasaran hartanah di lokasi utama seluruh Malaysia.
Unit tambahan tersebut dilancarkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, juga merangkap Pengerusi Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) iaitu syarikat induk kepada PHB dalam satu majlis yang berlangsung di ibu negara.
Sejak penubuhannya pada 2010 dengan unit permulaan sebanyak 1 bilion unit, saiz unit AHB telah ditingkatkan sebanyak empat kali sebelum ini. Penambahan terbaharu ini merupakan yang kelima, menjadikan jumlah unit terkumpul AHB sebanyak 5 bilion unit.
AHB merupakan sebuah unit amanah patuh Syariah berlandaskan hartanah yang pertama di Malaysia. Unit ini disokong dengan hartanah-hartanah komersial utama yang disewakan dan menikmati aliran pendapatan sewaan secara tetap.
Membawa aspirasi nasional untuk memperkasa pegangan pelaburan Bumiputera, skim unit AHB memberi peluang kepada
Bumiputera untuk menyertai pemilikan hartanah komersial utama menerusi pegangan unit.
Dalam tempoh 17 tahun pengoperasinya, PHB terus komited dalam usaha untuk mengenal pasti dan memperoleh hartanah komersial utama di bandar-bandar prima di seluruh Malaysia. Sehingga kini, PHB mempunyai aset bernilai kira-kira RM11 bilion.
Unit tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah hasil suntikan daripada beberapa aset terkini PHB iaitu Hospital Pakar KPJ Damansara 2 di Kuala Lumpur, Marlborough College di Iskandar Puteri dan penilaian semula bangunan Menara 1 Sentrum di Kuala Lumpur, Wisma Consplant di Subang Jaya dan Maersk Warehouse, dulu dikenali LF Logistics Warehouse di Shah Alam.
Penambahan dana ini menawarkan peluang kepada Bumiputera untuk menyimpan dan melabur, terutamanya sebagai perancangan persaraan masing-masing, tambahan pula kini ekonomi negara semakin beransur pulih pasca pandemik. Selain itu, ia juga selari dengan galakan kerajaan agar rakyat, terutamanya Bumiputera dapat menguruskan semula simpanan dan kewangan dengan lebih baik agar sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kecemasan atau krisis di masa hadapan.
Dalam ucapannya, Pengerusi PHB, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh, berkata, “Aspirasi PHB yang mendokong agenda Bumiputera negara akan terus diangkat melalui penyediaan peluang pelaburan yang lebih efektif bagi memastikan para pelabur mendapat pulangan yang lebih mampan and kompetitif daripada inisiatif pengagihan kekayaan negara yang seimbang. PHB
juga menyokong penuh saranan Kerajaan Perpaduan yang kini giat menggalakkan masyarakat terutamanya golongan muda untuk merancang dan mengendalikan kewangan mereka demi kelangsungan di hari tua.”
Masyarakat Bumiputera diseru untuk mengambil peluang ini dengan melabur dalam AHB sebagai satu cara untuk memupuk amalan menabung.
Orang awam yang berminat untuk melanggan unit AHB boleh ke mana-mana cawangan pengedar sah PHB di seluruh Malaysia, iaitu Maybank, Ambank, Ambank Islamic dan Bank Islam. Pelaburan minimum yang diperlukan adalah RM100 bagi setiap individu, sementara jumlah pelaburan maksimum adalah RM500,000.
Sementara itu, bagi pelanggan Maybank mereka boleh melanggan AHB melalui laman web Maybank2u atau aplikasi telefon myAHB yang boleh dimuat turun secara terus melalui aplikasi App Store dan Google Play Store. Mereka juga boleh menyemak pegangan unit semasa, melanggan unit baharu atau menebus unit sedia ada melalui aplikasi tersebut.
Antara aset-aset yang dimiliki PHB termasuklah Menara Conlay, Kuala Lumpur; Menara Prisma Putrajaya; Wisma Consplant, Subang Jaya; Avisena Specialist Hospital, Shah Alam; Pusat beli- belah NU Sentral, Kuala Lumpur; Menara 1 Sentrum, Kuala Lumpur dan Hospital Gleneagles Blok B, Kuala Lumpur.
Pengurusan dan pengendalian PHB ke atas aset-aset hartanah yang dimiliki turut mendapat pensijilan ISO seperti dalam Sistem Pengurusan Kualiti, Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan; Sistem Pengurusan Alam Sekitar termasuklah Sistem Pengurusan Anti Rasuah. Bangunan PHB terus diiktiraf apabila menerima dua anugerah berprestij di The Edge Malaysia Best Managed & Sustainable Property Awards 2023 bagi dua aset hartanahnya iaitu
Wisma Consplant, Subang Jaya dan Menara 1 Sentrum, Kuala Lumpur. Manakala Pusat beli-belah NU Sentral telah dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Bangunan Reka Bentuk Sejagat Terbaik Kategori Komersial – Pembangunan Bercampur oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).