Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah merasmikan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Kem Segamat, Johor pada 6 Mac 2022 lalu.
Ketibaan beliau di Kem Segamat telah disambut oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Tentera Darat, YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain.
Untuk pengetahuan anda, RKMAT Kem Segamat adalah salah satu inisiatif di bawah Blueprint Perumahan Kementerian Pertahanan yang mendokong Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) dalam melestarikan Warga Kerja Pertahanan.
Projek RKMAT berkenaan melibatkan pembinaan sebanyak 305 unit rumah pelbagai kelas untuk kemudahan anggota pasukan Rejimen Ke-4 Artileri Diraja (4 RAD).
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ucapannya, projek ini bukan cakap-cakap kosong. Ini kerana, dalam masa terdekat Blueprint Perumahan MINDEF 3.0 akan dilancarkan.
Tambahnya lagi, pada November tahun lalu YAB Perdana Menteri sendiri telah menyebut mengenai Blueprint Perumahan MINDEF.
“Jumlah RKMAT yang akan dibina di bawah Blueprint Perumahan MINDEF 3.0 ini bukan kecil. Ia perancangan menyeluruh yang selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia iaitu menitikberatkan kesejahteraan hidup setiap Keluarga Malaysia yang berbilang bangsa, agama serta budaya.
“Mudah-mudahan perancangan berkaitan Blueprint Perumahan 3.0 ini berjalan lancar dan diharapkan YAB Perdana Menteri sekali lagi dapat bersama-sama kita seterusnya merasmikan Blueprint berkenaan. InsyaAllah.”
Penyerahan Replika Kunci
Dalam acara berkenaan, YAB Perdana Menteri telah menyempurnakan penyerahan Replika Kunci kepada tiga (3) penerima yang mewakili pegawai serta anggota pasukan 4 RAD dalam majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna RKMAT 4 RAD.

Leftenan Muhammad Anwar Hanif Ibrahim
Penerima kunci adalah Leftenan Muhammad Anwar Hanif Ibrahim, Sarjan Ahmad Khalil Mat Shahhih dan Lans Bombardier Galearry anak Matthew. Beliau kemudiannya menandatangani ‘plate perasmian’ sebagai simbolik perasmian RKMAT berkenaan dan seterusnya membuat tinjauan bagi melihat kemudahan kediaman yang telah sedia untuk diduduki.
Penerima RKMAT, BDR Azrin Nordin sangat bangga dengan peluang diberikan kepadanya kerana bagi bapa ini rumah disediakan itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan terutama untuk anggota ATM sudah berkeluarga.

BDR Azrin Nordin
Antara fasiliti yang menjadi perhatian dirinya adalah kemudahan tadika, taska, gelanggang futsal untuk bersukan dan dewan bagi aktiviti bersosial antara keluarga ATM disamping suasana kediaman selamat.
Perjalanan untuk pergi balik kerja sebelum ini jauh, kini lebih dekat apatah lagi membolehkan mereka ulang alik ke tempat kerja dengan lebih jimat masa.
Selain itu, LBDR Galearry Anak Mathew, turut menghargai keselesaan dan peluang diberikan kepada keluarga ATM untuk memiliki rumah cukup selesa dilengkapi dengan pelbagai kemudahan demi kesejahteraan semua.

LBDR Galearry Anak Mathew
Seperti penerima RKMAT lain yang meluahkan penghargaan kepada kerajaan dan pihak berkenaan, LT Muhammad Anwar Hanif Ibrahim bersyukur diberikan peluang untuk mendiami rumah serba lengkap dengan perabot dan kelengkapan baharu.
Bukan hanya menjimatkan kos dari menyewa di luar, RKMAT juga memudahkan anggota ATM untuk mengurus jadual kehidupan harian apabila kediaman mereka dekat dengan tempat kerja.
Latar Belakang Projek RKMAT Kem Segamat
Kami pasti anda mesti belum tahu tentang projek RKMAT Kem Segamat ini kan? Tak mengapa, anda boleh baca apa yang kami senaraikan di bawah ni, sekurang-kurangnya anda tahu juga tentang projek ini. Hehe
1. Kem Segamat menempatkan pasukan Rejimen Ke-4 Artileri Diraja (4 RAD) yang berperanan sebagai Rejimen Bantuan Rapat dalam memberi bantuan tembakan yang berkesan kepada pasukan tempur agar pihak musuh tidak dapat mengganggu operasi pasukan sahabat serta pihak musuh tidak dapat mengatur rancangan operasi mereka dengan efektif.
2. Rancangan Pembinaan RKAT Pelbagai Kelas di Kem Segamat telah dirancang oleh Kementerian Pertahanan pada tahun 2018 melibatkan peruntukan sebanyak RM 147.7 juta. Ianya bagi menampung keperluan kediaman bagi Pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) 4 RAD.
3. Kerja-kerja pembinaan RKMAT Kem Segamat di atas tanah berkeluasan 20.125 ekar bermula pada 24 April 2018 dan siap sepenuhnya pada 5 Mac 2022 membabitkan binaan sebanyak 305 unit kediaman merangkumi 25 unit rumah Pegawai dan 280 unit bagi anggota LLP.
Turut hadir pada program ini adalah Menteri Besar Johor YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad, Panglima Angkatan Tentera YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi Buang TUDM, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan YBhg. Datuk Dr. Shahrazat Haji Ahmad, Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima 3 Divisyen (3 Div) Mejar Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim serta Pegawai-pegawai Kanan Kementerian dan ATM.