Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan pada tahun 2023 banyak memberi manfaat yang positif meningkatkan pendapatan rakyat.
Ia adalah sebahagian langkah intervensi bersifat jangka masa pendek dan sederhana yang dilaksana kerajaan dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini.
Untuk info anda, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) INSAN yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2024 ini fokus dengan strategi serampang dua mata untuk menambah pendapatan keluarga miskin tegar dan B40 pada masa yang sama berusaha menyelesaikan masalah ekonomi harian menerusi inisiatif-inisiatif IPR.
Inisiatif yang meliputi sektor pertanian perniagaan makanan dan operator perkhidmatan bukan sahaja membantu menambah pendapatan rakyat. Malah ia memberi peluang kepada peserta program untuk keluar daripada kemiskinan tegar khususnya golongan B40.
Buktinya, IPR melalui Inisiatif Usahawan Tani (Intan) yang disalurkan kepada petani-petani B40 sudah mula menunjukkan hasil lumayan.
Mohd Redzuan Mansor, 36, berkata, pendapatan beliau kini sudah mencecah lebih RM25,000 sejak kali pertama beliau terlibat dalam penanaman jagung manis.
Redzuan yang bekerja sebagai pegawai pemasaran di syarikat kosmetik sebelum ini berkata, beliau hanya mampu meraih sekitar RM3,500 sebulan.
“Saya dapat tahu mengenai IPR ini melalui rakan saya di kampung yang memperkenalkan saya dengan tanaman jagung manis.
“Ketika itu saya tiada cukup duit, tetapi melalui IPR Intan ini, saya berjaya mendapatkan modal awal untuk membeli benih jagung manis dan baja.
“Kemudian ia boleh mengeluarkan hasil dalam masa satu hingga tiga bulan sahaja dan dapat diusahakan sebanyak tiga kali dalam masa setahun,” ujarnya.
Sementara itu, Asri Abu Zarin, 42, dari Kuala Lumpur turut sependapat bahawa dia kini mampu menikmati pendapatan lumayan dengan menanam cili berbanding sebelumnya.
“Dahulu pendapatan saya tidak menentu ketika bertugas sebagai kru konsert, kadang-kadang dapat RM2,000 sebulan, namun gajinya akan berkurang sekiranya tiada mengambil saya bekerja.
“Selepas sertai IPR tahun lalu, saya dapat modal RM25,000 sebagai permulaan untuk menanam cili, dan selepas itu saya tidak menoleh ke belakang lagi apabila mendapat hasil lumayan antara RM7,000 hingga RM10,000 sebulan secara konsisten sejak enam bulan lalu,” jelasnya.