Persediaan Atlet Ke Sukan Olimpik LA 2028 Bermula Sekarang!

Sukan Olimpik Paris 2024 telah pun melabuhkan tirainya pada majlis penutup di Stade de France, utara Paris. Biarpun wira-wira negara kita tidak mencapai sasaran pingat Emas di Paris 2024, namun semangat kesukanan dan usaha mereka patut kita hargai sepenuhnya.

Tiada masa lagi untuk kita bersedih dan meratapi kekecewaan! Ayuh kita tumpukan sepenuh perhatian untuk Sukan Olimpik Los Angeles 2028 pula nanti. InshaAllah usaha kontijen kita kali ini pasti akan mendatangkan hasil. Yakin boleh!

Usaha Sukan Olimpik 2028 Bermula Sekarang

Jadi untuk info anda, usaha telah pun bermula untuk Sukan Olimpik 2028 di LA berikutan tamatnya Paris 2024. Walaupun Kontinjen Malaysia tidak mencapai sasaran pingat Emas di Paris 2024, program Road to Gold (RTG) yang merangkumi dua kitaran Olimpik akan memulakan proses menyediakan atlet untuk Los Angeles 2028.

Jawatankuasa Road to Gold percaya bahawa kontinjen akan berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk mencapai ‘Emas’ pada temasya akan datang kerana terdapat beberapa peningkatan ketara oleh atlet yang akan meletakkan mereka pada kedudukan yang lebih kukuh.

Antaranya, anda boleh lihat senarai ini.

i) Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan mencipta sejarah menjadi pasukan beregu wanita pertama Malaysia mara ke separuh akhir Sukan Olimpik. Penampilan sulung gandingan beregu wanita negara ini berjaya membuka mata kita semua dengan usaha yang mereka berika semasa Sukan Olimpik Paris 2024.

Tetapi sayang mereka tumpas kepada pasangan No. 1 dunia dari China, Qing Chen-Yi Fan di separuh akhir dan impian meraih gangsa juga musnah apabila tewas kepada pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

ii) Kekuatan mental pasukan badminton telah bertambah baik. Atlet menunjukkan keazaman mental yang lebih kuat ketika beraksi di gelanggang bertemu pemain yang lebih tinggi ranking.

Sebagai rekod, Malaysia membawa pulang dua pingat gangsa pada kempen kali ini menerusi badminton beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia.

iii) Aniq Kasdan membuat penampilan sulung di Olimpik dan meningkatkan kedudukannya daripada 10 teratas kepada menduduki tempat ke-4, hanya 1kg lagi untuk mencapai pingat Gangsa.

Dalam masa sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan Aniq sebagai ikon baharu sukan negara biarpun terlepas untuk merangkul pingat gangsa acara angkat berat.

“Walaupun baru sahaja dimasukkan dalam program RTG pada November lalu, Aniq sudah menunjukkan peningkatan yang amat ketara daripada ranking ke-10 kepada ‘top 4’ di Sukan Olimpik.

“Beliau telah menunjukkan bahawa sukan angkat berat mempunyai potensi raih pingat emas di LA2028 nanti,” kata Hannah.

iv) Datuk Azizulhasni Awang, yang menjalani pembedahan jantung terbuka pada 2022, mencipta rekod kebangsaan baharu 9.402s dalam acara pecut lelaki daripada rekod sebelumnya 9.523s.

Biarpun skuad berbasikal tidak membawa pulang pingat, namun tiga pelumba negara diketuai Azizulhasni Awang ini tetap cemerlang biarpun dibatalkan penyertaannya.

Nasib sama juga dialami Shah Firdaus apabila terlepas gangsa selepas terjatuh pada aksi final keirin kerana terlibat dalam pelanggaran dengan pelumba Jepun.

v) Pelumba berbasikal trek wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut cemerlang pada penampilan pertamanya apabila memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara pecut di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines iaitu 10.709s.

Lima catatan peribadi terbaik turut dicatat atlet negara menerusi Azizulhasni, Shah Firdaus, dan Izzah (basikal trek), Aniq (angkat berat) dan Syaqiera Mashayikh (memanah).

vi) Bukan itu sahaja, empat dari atlet muda RTG turut mencapai top 4!

vii) Persediaan telah bermula untuk kemasukan skuasy dalam LA2028. Empat pemain skuasy negara – Ng Eain Yow, S.Sivansangari, Aifa Azman dan Aira Azman – telah dikenal pasti untuk program ‘RTG-Fast Track’

Majlis Sukan Negara (MSN) telah memulakan Program Fast-Track dengan misi mewujudkan atlet muda dan berbakat yang baharu berumur antara 16 hingga 25 tahun yang berpotensi untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik LA2028.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub berkata bahawa perjalanan ke LA28 telah pun bermula menerusi program ini.

“Pihak MSN telah memulakan program fast track RTG bagi LA28 bagi sukan terjun dan skuasy, mungkin akan ada lagi penambahan kerana MSN akan mengenal pasti atlet yang berpotensi yang berada di ranking top 20 dunia untuk diletakkan dalam program fast track ini nanti.

“Selain itu, pihak MSN akan memperbaiki pelaksanaan program podium yang telah berjalan sejak 2016 lagi agar lebih ramai atlet dipersiapkan ke LA28,” katanya.

Atlet-atlet di bawah ‘fast track’ akan menerima geran latihan individu berbentuk bantuan kejurulatihan khusus, peralatan latihan dan pemulihan, perkhidmatan sokongan perubatan dan sains sukan, pendedahan latihan luar negara serta khidmat kepakaran teknikal dalam sukan masing-masing.

Tidak mustahil untuk tempoh empat tahun sebelum LA28, program RTG ini mampu melonjakkan prestasi atlet negara pada tahap tertinggi sekali gus mencerahkan peluang mereka meraih emas! Fuh, tak sabarnya.

Untuk rekod, Program Road to Gold (RTG) yang diwujudkan KBS bagi menyelaras usaha membantu atlet negara yang berpotensi bagi memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Semua atlet yang terpilih dalam RTG akan diberikan sokongan tambahan bagi membantu mereka merealisasikan impian memenangi pingat emas pada temasya terbesar dunia itu. Sama-sama kita doakan kejayaan para atlet kita di SUkan Olimpik LA2028 nanti!

×