“Pernah Terfikir Untuk Duduk Rumah Dengan Gelaran Datin”

Pelakon Datin Atikah Suhaime berkata dia pernah terfikir untuk menjalani kehidupan sebagai suri rumah seperti wanita berstatus datin sepertinya.

Memetik Kosmo, pelakon berusia 33 tahun itu bagaimanapun berkata kehidupan tersebut tidak sesuai dengan dirinya yang sentiasa mahu bekerja.

BACA: Atikah Suhaime Akui Janggal Dipanggil Datin

“Pada mulanya, memang saya pernah terfikir untuk duduk rumah dengan gelaran datin tetapi sebenarnya saya tak sesuai dengan perkara sebegitu.

“Sebab saya jenis sentiasa nak bekerja. Saya tidak kisah pun dengan kehidupan begini dan bagi saya, semua wanita boleh berjaya dalam apa jua mereka lakukan tak kiralah sebagai suri rumah atau apa sahaja kerjaya,” katanya.

Sementara itu, Atikah berkata harta benda bukan segalanya dan tanpa kemewahan dia tetap mahu hidup bersama suaminya, Datuk Lokman Teh.

“Ya, pada awalnya memang fikir tentang harta benda tetapi lama-kelamaan selepas mengenali lebih mendalam, semuanya berubah, tanpa harta pun saya boleh hidup dengan dia. Walaupun tiada kemewahan saya boleh hidup dengan dia dan itu saya sudah tanya diri sendiri pun,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai gelaran datin yang dipegangnya, Atikah berkata dia akan menggunakan ke arah kebaikan dengan memberi sesuatu kepada masyarakat.

“Datin adalah satu gelaran yang terhormat dan saya masih banyak kekurangan untuk memilikinya. Jadi, apabila sudah dapat gelaran itu, mungkin saya pelu lakukan sesuatu untuk menjadikannya lebih bermakna seperti banyak menderma atau beri sesuatu kepada masyarakat.

“Kalau dari aspek bisnes, mungkin boleh jual sesuatu dengan harga mampu milik supaya semua boleh membelinya,” katanya. 

×