Pergh Meriahnya! MOSTI Anjur Dua Program Gempak Di PICC

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menganjurkan dua program perdana Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) iaitu Minggu Sains Negara (MSN) dan Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Akhir Kebangsaan serentak pada 17 hingga 18 November 2024 bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya.

Majlis gilang gemilang ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, yang turut dihadiri oleh pelbagai dif kehormat termasuk Yang Berhormat Tuan Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan; Yang Berbahagia Dato’ Teknologis Dato’ Dr. Haji Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Yang Berbahagia Datuk Teknologis Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI; serta Yang Berusaha Puan Ruziah Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI. Turut hadir adalah Exco-Exco Kerajaan Negeri serta wakil-wakil jabatan dari seluruh negara, yang menunjukkan sokongan padu terhadap inisiatif ini.

Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran YBrs. Dr. Syukriyah Ishak, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIM, dan YBrs. Dr. Sharmila Mohamed Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif YIM, yang sentiasa berusaha menyokong pembangunan inovasi sosial melalui pelbagai program berimpak tinggi. Kehadiran mereka agar dapat menegaskan komitmen YIM dalam menyokong MOSTI untuk memacu pembudayaan STI dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda.

Lapan Siri Karnival MSN Dianjurkan

Karnival MSN menawarkan pelbagai pengisian interaktif seperti pameran berteraskan STI di booth pameran, demonstrasi sains dan bual bicara yang berteraskan STI mengikut kesesuaian masyarakat setempat.

Kalau anda nak tahu, MOSTI telah menganjurkan sebanyak lapan siri Karnival MSN di seluruh negara sepanjang tahun 2024 ini tau. Pengunjung yang hadir adalah seramai hampir 100,000 orang. Gila dasyhat kan?

Oh ya, pada masa yang sama juga, pelaksanakan MSN secara pengisian aktiviti bulanan dan dalam talian yang bermula sejak April 2024 dan berakhir pada penghujung bulan Oktober 2024 lalu telah melibatkan hampir 2.4 juta pengunjung dari seluruh negara.

Pelaksanaan Inisiatif Bagi Memupuk Minat Belia

Bukan itu jer, pelaksanaan Minggu Sains Negara pada 2024 ini merupakan tahun yang ke-7 sejak dilancarkan pada 2018. Ianya adalah komitmen MOSTI dalam membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kehidupan rakyat Malaysia secara konsisten dan berterusan.

Selain MSN, penganjuran Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Akhir Kebangsaan turut antara inisiatif MOSTI dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pertandingan.

Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini adalah bagi untuk memupuk minat para pelajar dan belia terhadap STI menerusi program Malaysia Techlympics. Sebab itulah MOSTI sangat komited dalam melaksanakan program gempak ini.

Antara teknologi yang sedang berkembang pesat adalah teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) yang banyak digunakan dalam bidang perniagaan dan beberapa industri yang berkaitan.

Sehingga kini, sejak bermula Julai 2024 yang lalu, program Malaysia Techlympics telah berjaya menarik 652,613 ribu penyertaan daripada seluruh negara. Penyertaan seramai lebih 2,000 orang peserta dari 538 pasukan melibatkan 232 pasukan sekolah rendah, 278 pasukan sekolah menengah dan 28 pasukan belia pada peringkat akhir kebangsaan 2024.

Selaku Kementerian yang menyelia kemajuan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di Negara ini, antara inisiatif utama MOSTI dalam menyemarak serta mempergiatkan aktiviti pembudayaan STI dalam kalangan masyarakat terutamanya kepada golongan pelajar dan belia adalah melalui aktiviti pembelajaran secara bukan formal di luar bilik darjah dan melalui pendekatan hands on secara langsung daripada pakar dan pengamal dalam bidang STI.

Semasa ucapan perasmian YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, beliau ada menekankan bahawa pelaksanaan inisiatif ini adalah selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 hingga 2030.

Pelan ini merupakan salah satu inisiatif MOSTI dalam usaha untuk menggerakkan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembudayaan dan aktiviti kesedaran STI secara besar-besaran di pelbagai peringkat.

Penyampaian Anugerah Saintis Muda Negara

Dalam majlis yang sama beliau turut menyempurnakan penyampaian Anugerah Saintis Muda Negara. Ini adalah pengiktirafan serta penghargaan MOSTI terhadap kerja dan pencapaian yang cemerlang oleh saintis muda dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) STI negara.

Sebanyak lima kategori utama Anugerah Saintis Muda Negara dipertandingkan, melibatkan kategori Biologi, Fizik, Kimia, Perubatan dan Kejuruteraan dengan jumlah hadiah wang tunai sebanyak RM20,000.00 bagi setiap kategori.

Untuk maklumat lanjut mengenai Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics, anda boleh melayari laman web rasmi minggusainsnegara.mosti.gov.my dan www.mytechlympics.com.

×