Penyanyi Ditahan Pukul Bekas Isteri Kerana Enggan Bergambar

Seorang penyanyi ditahan semalam selepas dipercayai memukul bekas isterinya dalam kejadian di kawasan rumah lelaki itu di Kota Damansara.

Memetik Harian Metro, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa berusia 27 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu.

Polis berkata kejadian berlaku ketika mangsa mahu mengambil anak lelakinya daripada suspek di kawasan parkir rumah pada 2.29 petang.

Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham apabila mangsa enggan bergambar bersama penyanyi tersebut.

“Suspek berusia 45 tahun itu kemudian memarahi dan memukul badan pengadu menyebabkan kesan lebam dan sakit pada anggota badan mangsa,” katanya.

Hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif. Suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumahtangga 2017.

×