Betul lah kata pepatah, panas yang disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Nak tak nak, peniaga terpaksa akur tentang penutupan bazar Ramadan dan Aidilfitri demi keselamatan semua.
Kerajaan memutuskan untuk menutup semua bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bermula semalam (Isnin).
Ramai yang tak setuju dan tak menyokong dengan penutupan bazar ini. Ye lah, masing-masing nak mencari rezeki. Tapi nak buat macam mana lagi kan, terpaksa juga akur menutup operasi.
Kami faham jauh di sudut hati peniaga semua, sebenarnya ada rasa pilu dan kecewa, lebih-lebih lagi penutupan dibuat kurang beberapa hari menjelang Aidilfitri.
Mana tidaknya, penutupan operasi itu bukan sahaja menyebabkan peniaga bazar hilang pendapatan, apa yang lebih teruk diorang terpaksa menanggung kerugian kerana sebahagian peniaga sudah membeli stok barangan untuk diniagakan. Alahai kesiannya.
Sudahlah untung masih belum seberapa, sekarang ni nak menanggung kerugian pula.
Satu Tindakan Wajar
Sungguh pun begitu, anda perlu tengok di sudut yang positif.
Macam yang Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed, berkata pengumuman kerajaan pada 16 Mac lepas yang membenarkan pembukaan bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini sebenarnya memberi nafas baharu kepada peniaga kecil. Tapi itulah, bila adanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), agak terkesan juga.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed, berpendapat penutupan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri bagaimanapun wajar bagi mengawal penularan COVID-19.
Tambah beliau, arahan pihak kerajaan dan pihak berkuatkuasa yang mahu menghentikan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri ini bukan sekadar suka-suka tapi tindakan ini adalah wajar bagi mengawal penularan COVID-19.
Kata Mohamed Zamri, selain itu Sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang diperkenalkan juga amat membantu dalam mengesan lokasi yang berisiko kepada penularan kes COVID-19.
“Kerajaan sentiasa meneliti prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa. Penutupan kesemua bazar berlaku kerana terdapat pertambahan kes harian dan saya percaya penutupan ini dilakukan selepas mendapatkan nasihat dan penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Keadaan ini menyebabkan beberapa negeri melaksanakan PKP secara bersasar dan dibuat berpandukan sistem HIDE yang dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan KKM,” katanya lagi.
Jelas Mohamed Zamri, sebelum pengumuman ini berkuat kuasa, peniaga sudah dimaklumkan tiga hari lebih awal sebelum penutupan bazar secara menyeluruh dan tidak sepatutnya bangkit sebarang isu negatif dari peniaga.
“Jika dibanding 2020, tiada bazar dibenarkan beroperasi dan pada saya kerajaan sudah memberikan kelonggaran kepada peniaga bazar untuk menjalankan perniagaan tahun ini biarpun tidak sepenuhnya sehingga malam terakhir Ramadan.
“Saya faham, kebanyakan peniaga sudah mengeluarkan modal tinggi dan mensasarkan pulangan pada malam terakhir perniagaan, namun mereka perlu lihat dari perspektif utama bahawa penutupan bazar ini amat membantu dalam mengurangkan penularan kes COVID-19.
“Namun, saya mengharapkan pelan pemulihan ekonomi yang akan diumum kerajaan tidak lama lagi membenarkan rakyat bebas bergerak, mengunjungi premis perniagaan dan gerai yang diusahakan peniaga dan penjaja kecil,” katanya.
Penutupan Bazar Untuk Mengekang COVID-19
Sementara itu, Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Witus (WITUS), Shiella Tukimin, berkata biarpun kemeriahan bazar tidak dapat dinikmati sepenuhnya, namun sebagai peniaga beliau akur dengan keputusan penutupan bazar kerana ingin menyumbang peranannya bagi mengekang rantaian COVID-19.

Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Witus (WITUS), Shiella Tukimin, akur akan penutupan semua bazar biarpun berbaki beberapa hari sebelum sambutan Syawal.
Katanya, biarpun hanya berpeluang berniaga selama dua jam sehari kerana bazar Aidilfitri hanya dibenarkan operasi sehingga jam 10 malam, tapi dirinya akur dengan penetapan pihak berkuasa dan yakin setiap garis panduan dijalankan berdasarkan pengamatan profesional.
“Berdasarkan pemerhatian saya, bazar menjadi kawasan tumpuan umum dan ramai yang gagal memenuhi SOP yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Pematuhan SOP seperti penjarakan fizikal hampir mustahil untuk dilakukan seperti di bazar Ramadan atau bazar Aidilfitri.
“Penutupan bazar yang berbaki beberapa hari sebelum menjelang hari raya amat wajar dilakukan memandangkan bilangan kes baharu COVID-19 yang dilaporkan setiap hari berada pada tahap yang sangat membimbangkan bahkan bagi peniaga seperti saya yang terdedah dengan risiko,” katanya.
Sistem HIDE Membantu!
Tambahnya, sistem HIDE yang diperkenalkan juga mampu mencegah pembentukan kluster COVID-19 baharu sekiranya penyenaraian lokasi yang dikenal pasti diambil tindakan awal oleh pihak berkuasa, pemilik premis dan juga orang awam.
“Perkongsian senarai lokasi dapat membantu masyarakat membuat perancangan perjalanan dan keputusan yang wajar sebelum menuju ke sesebuah lokasi atau premis agar dapat menghindari risiko jangkitan COVID-19.
“Ia juga boleh dijadikan panduan kepada pemilik atau pengusaha premis untuk mengambil langkah proaktif bagi mencegah dan melindungi premis masing-masing daripada menjadi pusat penularan jangkitan COVID-19,” katanya.
Sebelum penutupan semua bazar di seluruh negara, kerajaan mengeluarkan arahan terbesar dibuat pada 30 April lalu supaya 22 bazar Ramadan daripada 1,073 yang sedang beroperasi di seluruh Malaysia ditutup selepas dikesan wujud ancaman penyebaran COVID-19 berdasarkan pengesanan kontak yang dilaksanakan KKM melalui aplikasi MySejahtera.
Semoga keadaan Malaysia beransur pulih dan baik. Mudah-mudahan pengalaman dialami ini dapat menjadikan rakyat Malaysia lebih sabar dalam mencari rezeki.
Usaha melawan Covid-19 adalah tanggungjawab bersama. Semua pihak mempunyai peranan dalam usaha ini seterusnya boleh menyelamatkan nyawa dan memelihara kehidupan. Sama-samalah kita mencegah dan berdoa!