“Penonton Sendiri Mahu Pelakon Yang Lawa, Hensem” – A. Aida

Sejak semalam, hangat diperkatakan apabila pelakon dan penerbit, Datuk A. Aida mengatakan bahawa dia kekal dengan pendirian paras rupa tetap menjadi elemen penting menjadi seorang pelakon.

Kenyataan A. Aida itu menerima sindiran daripada pelakon, Amerul Affendi yang mencadangkan kesemua institut pengajian awam dan swasta untuk menamatkan kesemua kursus lakonan.

BACA: “Elokla Semua IPT Tamatkan Kursus Lakonan, Tak Baik Scam Pelajar” – Amerul Affendi

Memetik Harian Metro, Aida mempersoalkan status aktor itu mengapa pula Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu menutup kursus lakonan.

Menurut Aida, kenyataannya itu adalah relevan sering diguna pakai oleh penerbit lain dalam negara termasuk di luar negara.

“Sejak dulu lagi, watak utama iaitu hero dan heroin memang kena ada rupa paras menarik dan muda. Begitu juga sekarang. Cuma bezanya, apabila mereka sudah berusia dan bukan lagi remaja, kita kena cari pelapis baharu pula. Begitulah seterusnya.

“Nampaknya ramai yang masih kurang faham. Mereka hanya ambil pendekatan terus mengkritik kenyataan saya. Apa yang dimaksudkan adalah untuk watak utama. Itu kriteria yang saya tetapkan, tapi banyak lagi watak lain yang saya tak kisah pun rupa paras, janji berbakat dan pandai berlakon saya akan ambil.

“Sekali lagi ditegaskan, pemilihan watak itu disesuaikan dengan jalan cerita. Kalau naskhah itu watak utama memerlukan pelakon yang tiada rupa, takkan saya nak ‘hodohkan’ pelakon yang sedia kacak. Nanti penonton bising juga. Jadi, kita buat ikut kehendak skrip itu,” katanya.

Dalam pada itu, Aida menegaskan dia mengutamakan kualiti lakonan setiap pelakon dan mempunyai cara tersendiri supaya pelakon baru dapat menimba ilmu.

Kata Aida lagi, penonton sendiri mahu melihat pelakon yang mempunyai paras rupa dan dia hanya memenuhi permintaan penonton serta itu hakikat yang perlu diterima. 

“Saya menggabungkan artis baharu yang kacak, ‘sado’ dan cantik dengan pelakon hebat lain agar mereka dapat menimba ilmu dan meminta tunjuk ajar. Itu cari saya untuk mencari pelapis yang baharu.

“Saya pun tidaklah hilang akal sampai nak merosakkan karya terbitan sendiri. Dari pengarah, penulis skrip dan semua yang terbabit saya menggunakan khidmat mereka yang terbaik. Itu cara saya menghargai naskhah itu. Terbukti, hasilnya juga bagus hingga menjadi trending, tular dan jumlah penonton tinggi.

“Ini hakikat dan realiti yang perlu diterima semua orang. Penonton sendiri mahu melihat mereka yang lawa. Tapi, sekali lagi ditegaskan, semua itu bergantung kepada jalan cerita. Lain orang, lain pendekatannya dalam menerbitkan sesebuah karya,” katanya.

×