Pelakon dan penyanyi Che Puan Jeslina Hashim berkata dia lebih selesa dengan panggilan Jes dan tidak biasa dengan gelaran Che Puan.
Memetik Harian Metro, Jeslina yang berkahwin dengan cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-10, Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman iaitu Tunku Eddy Nasruan Adi berkata dia akan memberitahu untuk memanggilnya Jes sahaja.
BACA: Jeslina Hashim Menghitung Hari Bakal Nikah Kerabat Diraja
“Panggil saya Jes. Saya tak biasa dengan gelaran Che Puan. Kalau orang panggil saya Che Puan pun, saya akan beritahu panggil Jes sahaja,” katanya.
Sudah lapan bulan mendirikan rumah tangga, Jeslina berkata dia sangat gembira dan kini sibuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri serta ibu.
“Kehidupan saya sekarang sangat gembira. Tak sampai setahun pun lagi kami berkahwin. Sekarang, saya sibuk menjaga suami dan rumah tangga.
“Anak-anak saya juga sudah besar, jadi saya membantu mereka dari segi pendidikan, pemandu untuk mereka keluar dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Jeslina berkata dia tidak mempunyai perancangan untuk kembali dalam bidang nyanyian ketika ini meskipun rindu untuk menyanyi namun dia berdepan masalah dengan tekak.
“Saya bercakap pun sudah kedengaran lain, jadi saya harap ada peluang tekak saya sembuh untuk kembali menyanyi.
“Sebelum ini, saya ada gastrik, jadi doktor kata ada ‘acid burn’ di kotak suara. Lagu-lagu lama pun saya sudah tak boleh nyanyi. ‘Key’ pun sudah tak boleh ‘hit dan ia sudah berlarutan lebih 10 tahun begini
“Saya juga tiada buat sebarang rawatan buat masa ini kerana tiada perancangan untuk kembali menyanyi. Menyanyi ‘manja-manja’ di rumah boleh lah,” katanya.
Terdahulu, Jeslina pernah berkahwin dengan Dion Andrew Vercoe pada 21 April 2005, namun bercerai pada Mac 2013. Pasangan itu dikurniakan dua anak iaitu Micah, 15, dan Keira, 13.
SUMBER: Harian Metro