Pak Ya Tak Puas Hati Lan Pet Pet Didenda RM2,000

Susulan insiden memukul seorang pengawal keselamatan warga emas pada 6 April lalu, pelawak terkenal, Lan Pet Pet mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut dan didenda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban, hari ini.

Bagaimanapun, pengawal keselamatan tersebut, Yahya Manap atau Pak Ya meluahkan rasa tidak puas hati dengan keputusan mahkamah yang mengenakan denda sebanyak itu sahaja memandangkan kecederaan yang dialaminya agak teruk.

BACA: Tak Dapat Sambutan, Umrah Bersama Lan Pet Pet Ditunda

“Denda cuma RM2,000. Pakcik yang kena bedal ini apa cerita. Pinggang masih sakit sampai sekarang akibat ditendang. Maruah pakcik yang tercemar apabila dia cakap persatuan penduduk ambil pengawal bodoh bagaimana pula?

“Pakcik kena bedal sampai diberi cuti sakit (MC) selama tiga hari kemudian terpaksa sambung cuti lima hari lagi,” katanya kepada Kosmo!

Dalam pada itu, Pak Ya memberitahu dia dan keluarga kini dalam proses melantik peguam bagi mengemukakan saman malu ke atas pelawak tersebut. Katanya lagi, jika diikutkan hati, dia mahu menyaman pelakon tersebut sebanyak RM3 juta.

Ujarnya lagi, dia akan menyerahkan urusan saman itu kepada peguam yang telah dipilih oleh menantunya.

Terdahulu, tular di media sosial video seorang pelawak terkenal membelasah seorang pengawal keselamatan.  Dalam kejadian tersebut, pengawal keselamatan berusia 68 tahun itu cedera selepas ditumbuk tiga kali pada bahagian muka serta turut ditendang oleh pelawak lelaki berkenaan.

×