Pasti ramai tahu penyanyi raper dan penyanyi Noki K-Clique kini menceburkan diri dalam dunia lakonan. Malah, wajahnya juga sering dilihat di kaca televisyen menerusi drama.
Memetik Harian Metro, Noki meluahkan rasa syukur di atas rezeki diberikan serta berharap akan terus merendah diri biarpun namanya menjadi sebutan ramai.
BACA: Selalu Tayang Badan, Noki K-Clique Akui Banyak Terima Mesej Ajak Ke Katil
“Alhamdulillah, Allah bagi rezeki seadil-adilnya. Bagaimanapun, tak mustahil apa yang kita dapat sekarang bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik semula. Hidup ini umpama roda dan kita tak semestinya akan selalu di atas dan begitu juga sebaliknya.
“Apa pun yang dibuat sekarang, saya berharap terus merendah diri bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk keluarga tersayang di Sabah,” katanya.
Menurut Noki, dia bukan datang dari keluarga senang dan fokusnya kini untuk menyenangkan keluarga dan mahu membelikan rumah.
“Saya nak senangkan keluarga. Saya menyasarkan nak belikan mereka rumah. Belum tercapai lagi, insya-Allah dalam perjalanan ke arah itu. Dalam keluarga, saya antara yang berkemampuan untuk membantu mereka walaupun saya anak bongsu.
“Saya tak kisah tinggal seorang diri di Kuala Lumpur, kerja keras dan susah macam mana sekalipun, tidak mengapa asalkan dapat beri kesenangan kepada keluarga,” katanya.
Ditanya mengenai soal peribadi, Noki mengakui dia masih belum berpunya. Ujarnya, dia belum terfikir untuk ke arah perkahwinan kerana mahu stabilkan kewangan terlebih dahulu.
“Keluarga di Sabah pun sudah bertanya bila nak kahwin apa semua. Tapi, saya bukan cakap tak nak kahwin. Saya tunggu nak stabilkan ekonomi diri dan pada masa sama tunggu jodoh sesuai.
“Sekarang ini teman wanita pun saya tiada. Saya pun sedar yang diri pun tak betul sangat sekarang. Jadi, kita perbetulkan diri dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji berkata dia impikan wanita yang berpurdah dan tahu banyak tentang agama.
“Tapi, kalau tanya mengenai wanita idaman, saya dambakan seorang yang berpurdah. Kalau boleh yang tahu banyak mengenai agama, aurat apa dan tak perlu pun saya ajar.
“Namun, kalau saya nak ‘demand’ begitu dalam keadaan saya pun tak sempurna, saya kena sedar diri juga dan perlu terus memperbaiki diri menjadi orang yang lebih positif setiap masa,” katanya.