Hasrat peminat untuk melihat Hafiz Suip di Separuh Akhir Muzik Muzik Ke-37 (SFMM37) tidak kesampaian apabila penyanyi itu memilih untuk menarik diri atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
Memetik Harian Metro, pengurus penyanyi itu yang dikenali sebagai Am berkata dia juga agak sukar untuk menghubungi Hafiz ketika ini.
BACA: Hafiz Suip Gembira Isteri Berhijab
“Saya kirim mesej WhatsApp kepada dia dan setakat ini masih belum dapat balasan lagi. Buat masa sekarang, dia sukar untuk dihubungi.
“Memang kebetulan pada SFMM37 kali ini, Hafiz tak dapat ikut serta beraksi kerana urusan peribadi yang tidak dapat dielakkannya. Dia pun mohon maaf kepada peminat kerana tidak dapat menyanyikan lagunya yang dicalonkan itu,” katanya.
Susulan keputusan menarik diri itu, timbul spekulasi apabila ada netizen mendakwa Hafiz kini terlibat dalam aktiviti dakwah sehingga membuat keputusan untuk tidak beraksi di pentas SFMM37.
Menerusi ruangan komen di Facebook Harian Metro, ada netizen mendakwa terlihat Hafiz bersama jemaah lain di sekitar Kemaman, Terengganu.
Malah, ada netizen mendakwa penyanyi itu keluar berdakwah mengikut jemaah tabligh selama 40 hari. Dalam pada itu, rata-rata netizen mendoakan agar urusan penyanyi itu dipermudahkan.
Hafiz sepatutnya berganding dengan Ernie Zakri untuk menyanyikan lagu duet, Berakhir Pencarianku. Namun, difahamkan ianya digantikan dengan penyanyi Ahmad Syafiq dan Wani Kayrie.