Pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA berpendapat individu yang menjadi juri perlu memenangi sekurang-kurangnya satu anugerah sepanjang bergelar sebagai penyanyi.
Memetik Utusan Online, Azwan berkata dengan pencapaian serta kualiti vokal yang pernah diiktiraf barulah juri tersebut layak untuk menilai para peserta.
BACA: “Perlu Ada Batas Apabila Nak Mengamuk Atau Menghentam Peserta” – Azwan Ali
“Sepatutnya kredibiliti atau kelayakan menjadi juri mestilah pernah menang satu anugerah sepanjang karier mereka.
“Sekurang-kurangnya vokal mereka sudah dinilai dan diiktiraf sekiranya program tersebut berkaitan dengan nyanyian, barulah layak menilai peserta bertanding.
“Adakah sikap juri yang suka mengamuk dan terjerit-jerit ini menjadi ‘nyawa’ kepada stesen televisyen?” katanya.
Dalam pada itu, Azwan turut meluahkan rasa kecewa dengan lambakan juri ‘sampah’ yang menguasai rancangan realiti di televisyen sedangkan ramai lagi penyanyi hebat.
“Balik-balik muka yang sama muncul dalam televisyen, sedangkan penyanyi yang mahir mengenai vokal juga ramai dan boleh memberikan komentar mengenai persembahan nyanyian,” katanya.