Pengacara Nadia Annuar mengesahkan rumah tangganya bersama usahawan Hafiz Salleh yang dibina sejak lapan tahun lalu sudah pun berakhir.
Perkara itu didedahkan oleh Nadia menerusi temu bual yang dikongsikan sebuah majalah wanita. Namun, Nadia tidak mendedahkan lebih lanjut tarikh perpisahan. Katanya lagi, dia kini mahu memberikan fokus kepada dirinya sendiri serta kedua-dua cahaya matanya.
BACA: Tak Lagi Berhijab, Nadia Annuar Minta Jangan Salahkan Ibu
“Saya kini ‘single’ tapi tak ‘available’. Buat masa ini, saya ingin berehat daripada bercinta atau mempunyai sebarang hubungan.
“Mummy pun suruh saya fokus pada diri sendiri dan buat apa yang saya inginkan termasuk fokus kepada anak-anak.
“Saya memiliki sepasang cahaya mata. Walaupun mereka tidak tinggal bersama atas sebab tertentu, tetapi saya cuba untuk sentiasa ada ketika anak-anak memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Nadia berkata dia mahu mencuba benda baru dalam bidang pengacaraan serta menggunakan kelebihannya bercakap dalam pelbagai bahasa.
“Saya ingin teroka kelebihan bercakap dalam pelbagai bahasa. Saya juga banyak buat ‘job’ pengacaraan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Thailand,” katanya.
Untuk rekod, Nadia mendirikan rumah tangga dengan Hafiz pada November 2015 dan pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Dya Naylaa 7.
Terdahulu, Nadia pernah berkahwin dengan Sulaiman@Mohd Helmi Mohd Ilyasd namun bercerai pada Oktober 2010. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan anak lelaki, Mohamed Aaron Erwin, 14 tahun.