Muat Naik Video Lagu Raya Tidak Sopan, Aliff Syukri Diperintah Bela Diri

Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini, atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang dengan niat menyakiti hati orang lain, tiga tahun lalu.

Memetik Harian Metro, Hakim Ahmad Fuad Othman membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

BACA: “Walau Tak Pakai Baju Ketat, Ramai Yang Tonton Lagu Raya Saya” – Aliff Syukri

Dalam penghakimannya, Ahmad Fuad berkata, video tersebut dimuatnaik ketika bulan Ramadan ketika umat Islam berpuasa dan bulan yang harus dihormati.

“Makan di khalayak ramai di bulan puasa juga tidak sopan, apatah lagi memuatnaik hantaran video di bulan puasa dengan menari liuk lentuk dan berpakaian wanita, ia tetap tidak sopan,” katanya.

Dengan keputusan itu, Aliff Syukri bersedia untuk membela diri pada tarikh ditetapkan pada 19 Mei ini.

Pada 13 Oktober 2022, Aliff Syukri mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya dengan niat menyakiti hati orang lain.

SUMBER: Harian Metro 

×