MoU SKMM-MARA Satukan Agenda Digital, Ekonomi Dan Keselamatan Siber

Memorandum persefahaman (MoU) di antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan usaha menyeluruh yang menyatukan agenda inklusif digital, pemerkasaan ekonomi dan keselamatan siber dalam satu kerangka nasional.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari dua Institusi Pendidikan MARA (IPMA) turut menyifatkan MoU itu sebagai langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem digital negara.

Exco Perhubungan Awam Dan Komunikasi Multimedia, MPP MARA-Japan Industrial Institute (MJII), Muhammad Arif Syahmi Kamarul Afizi berkata, naik taraf capaian internet akan memberi manfaat besar kepada warga IPMA terutama yang berada di kawasan pinggir dan luar bandar.

Katanya, capaian internet yang tinggi memudahkan dan mempercepatkan proses pembelajaran dan pendidikan terutama dari aspek Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).

Muhammad Arif Syahmi Kamarul Afizi

“Selain itu, komponen penting dalam MoU ini ialah pelaksanaan Kempen Internet Selamat yang mendidik berkenaan ancaman siber seperti penipuan dalam talian, pancingan data dan serangan perisian hasad.

“Ia dijangka dapat meningkatkan kesedaran pengguna tentang kepentingan privasi data dan keselamatan dalam talian,” katanya kepada Rotikaya.

Baru-baru ini, Kementerian Komunikasi melalui SKMM menjalin kerjasama strategik dengan MARA menerusi pertukaran MoU bagi meningkatkan kualiti capaian internet di semua IPMA seluruh negara.

Ia melibatkan Maktab Rendah Sains MARA, Institut Kemahiran MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, MARA-Japan Industrial Institute, Kolej Poly-Tech MARA; Universiti Poly-Tech Malaysia; Kolej Profesional MARA; Kolej MARA, Universiti Kuala Lumpur, German-Malaysian Institute dan GIATMARA.

MoU itu turut merangkumi pelaksanaan Kempen Internet Selamat, penyediaan khidmat konsultasi bagi penambahbaikan liputan mudah alih dan jalur lebar berasaskan gentian optik serta eksplorasi teknologi di kawasan kurang liputan.

Capaian internet di semua Institusi Pendidikan MARA (IPMA) akan dinaik taraf dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)

Tidak ketinggalan ialah aspek pembangunan usahawan melalui pembudayaan ICT dan e-dagang serta program peningkatan kompetensi dan penyelidikan dalam bidang keselamatan siber bagi melahirkan bakat yang memenuhi keperluan industri digital.

Sementara itu, Muhammad Arif Syahmi berkata, kerjasama SKMM dan MARA dalam membangunkan usahawan digital amat bertepatan kerana MARA mampu memberi sokongan melalui pelbagai inisiatif keusahawanan.

“SKMM pula boleh menyediakan platform dan kepakaran digital untuk dimanfaatkan oleh usahawan muda dan perusahaan kecil sederhana (PKS),” katanya.

Sementara itu, Presiden MPP Kolej Profesional MARA (KPM) Bandar Melaka, Luqman Wildan Mohd Firdaus berkata, seiring dengan peningkatan penggunaan internet, pelaksanaan Kempen Internet Selamat adalah bertepatan bagi memberi kefahaman berkenaan keselamatan siber.

Beliau berkata, melalui pendedahan yang konsisten, masyarakat akan lebih celik digital serta mampu mengamalkan langkah keselamatan asas seperti penggunaan kata laluan kukuh dan pengesahan dua faktor dalam kehidupan seharian mereka.

Katanya, aspek ekonomi digital dalam MoU itu juga akan membuka peluang besar untuk menceburi bidang keusahawanan atas talian.

Luqman Wildan Mohd Firdaus

“Program latihan, bimbingan dan geran permulaan perlu disediakan kepada usahawan muda, terutamanya dalam bidang e-dagang, pemasaran digital dan pengurusan kewangan atas talian.

“Langkah ini bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, malah dapat mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan daya saing dalam kalangan belia,” katanya.

Luqman Wildan turut berharap program peningkatan kompetensi dirangka secara menyeluruh kerana kemajuan teknologi menuntut tenaga kerja yang mahir dalam bidang keselamatan siber.

“Institusi pengajian tinggi serta agensi berkaitan harus memainkan peranan penting dalam memperbanyakkan kajian dan inovasi dalam bidang keselamatan siber termasuk pembangunan sistem pencegahan pencerobohan (IPS), pengesanan anomali, dan kecerdasan buatan untuk menangani ancaman siber.

“Usaha ini amat diperlukan dalam mewujudkan ekosistem keselamatan siber yang mantap dan dinamik sekaligus menjadikan Malaysia sebagai hab digital yang selamat dan diyakini,” katanya.

×