Aktivis kemanusiaan Mizz Nina mengesahkan isu hak penjagaan anak angkat mereka iaitu Musa tidak perlu dibangkitkan kerana dia mempunyai dokumen lengkap sebagai penjaga yang sah.
Memetik BH Online, Nina berkata dia hadir ke mahkamah hari ini bagi menghormati prosedur mahkamah dan mengesahkan dia mempunyai dokumen pengangkatan dimana tidak tertulis nama bekas suaminya, Noh.
BACA: “Noh Beri Informasi Yang Salah Kepada Semua” – Suami Mizz Nina
“Jadi, dengan ada dokumen ini bermaksud tiada pertikaian.
“Saya tegaskan tiada lagi pertikaian sebab ini bukan kes hak penjagaan dan kami mempunyai dokumen pengangkatan yang lengkap,” katanya.
Sementara itu, Nina berkata dia mahu anak angkatnya itu membesar dengan cara terbaik serta bersama mereka yang sayangkannya.
“Musa ada mama dan baba, dia juga ada keluarga besar, jiran, persekolahannya dan semua orang yang sayangkannya. Jadi, saya mahu Musa dibesarkan dengan cara terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, peguam Mizz Nina iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan berkata Mizz Nina adalah ibu angkat Musa yang sah dan tiada isu berbangkit kerana kes kedua-dua kes sudah rasmi ditarik balik.
“Tiada isu apa-apa, seperti siapa yang nak melawat sebagainya. Kami sudah tarik balik kedua-dua kes dan mahkamah sudah benarkan kami untuk menarik balik.
“Pihak sana (Noh) suarakan mengenai kos pentaksiran. Kos kecil sebab tiada apa tindakan diambil setakat ini.
“Hak anak angkat juga sudah diberikan sepenuhnya kepada Mizz Nina, jadi tiada isu seperti kes hak penjagaan.
“Ini kes anak angkat bila anak angkat itu sudah diberikan kepada Mizz Nina sepenuhnya, jadi tiada siapa boleh melawat.
“Keputusan muktamad adalah ibu kandung Musa memutuskan untuk memberi hak penjagaan penuh kepada Mizz Nina,” katanya.