Pelakon dan penyanyi, Ismail Izzani berkongsikan sebab dia bertukar ke syarikat pengurusan baru, Def Jam Asia untuk mencuba haluan baru selepas mengambil masa dua tahun untuk membuat keputusan itu.
Memetik Media Hiburan, Ismail berkata dia mahu memberikan tumpuan pada bidang muzik berbanding tawaran berlakon yang banyak diterimanya ketika bersama syarikat pengurusan lama.
BACA: Tak Ambil SPM, Ismail Izzani Salahkan Diri Sendiri
“Selama dua tahun saya tiada produk dan tidak melancarkan sebarang lagu. Saya tiba-tiba jadi pelakon. Ia agak sedih kerana saya mulakan kerjaya menerusi muzik dan saya tak mahu orang ingat saya sebagai pelakon. Ia bukan kekuatan saya.
“Dalam bidang lakonan ini, kalau sekadar mencuba saya okay lagi tapi kalau itulah sasaran mereka, saya minta maaf. Kita tidak berada di direction yang sama. Hubungan kami masih baik dan saya keluar juga dengan cara baik,” katanya.
Sementara itu, Ismail berkata dia akan lebih memilih jika menerima tawaran lakonan selepas ini. Ujarnya lagi, dia mengakui seronok menjadi pelakon namun ia tiada dalam dirinya.
“Ia bergantung kepada masa. Tahun lepas, saya terima banyak tawaran berlakon. Saya bukan menolak tapi ada kalanya saya merasakan ia seperti bukan tempat untuk saya.
“Sebagai ahli muzik, kalau harus bekerja selama tiga bulan untuk penggambaran drama, saya tiada masa nak buat lagu. Jadi, saya kena memilih,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada terkesan dengan kritikan netizen terhadap kualiti lakonannya, Ismail berkata netizen berhak bercakap apa saja.
“Saya okay sahaja. Kalau fikirkan sangat fasal trauma ini, semua benda saya akan trauma. Nak keluar atau berjumpa dengan media pun saya akan trauma. Minat lakonan itu tiada dalam diri saya. Nak bagi 100 peratus itu saya tak tahu macam mana.
“Orang meletakkan harapan yang tinggi bila saya berlakon. Pada saya, nak puaskan hati semua orang itu bukan kerja saya,” katanya.