Pemenang Creator of The Year di TikTok Award Malaysia 2023, Khairul Aming berkata dia tidak akan lari dari bidang yang dibuat serta tidak pernah terfikir untuk menyertai mana-mana program televisyen.
Memetik mStar Online, Aming berkata dia akan terus menggunakan platform media sosial kerana itu adalah cara untuk dia terus menghargai peminat yang telah memberi sokongan sejak dari awal lagi.
BACA: Khairul Aming Tak Kisah Bakal Isteri Tak Pandai Masak
“Banyak tawaran yang saya terima, tapi saya terpaksa tolak. Saya bermula secara online. Saya tak mahu lari bidang daripada mana saya mula sebab di sinilah pengikut menyokong saya.
“Kalau ada masa mungkin saya akan cuba masuk TV di masa akan datang. Namun menyanyi dan berlakon semestinya tidak. Mungkin hanya program di bulan Ramadan,” katanya.
Dalam pada itu, Aming berharap anugerah diterimanya itu dapat memberi inspirasi kepada anak muda diluar sana untuk bergelar content creator namun mengingatkan agar menamatkan perlajaran dahulu.
“Ramai ibu-ibu yang minta saya nasihat apabila anak mereka mahu jadi content creator. Bagi saya penting untuk mereka tamatkan pelajaran terlebih dahulu.
“Tak salah mereka nak menceburi bidang ini lebih awal, namun saya risau mereka tidak dapat melihat realiti yang sebenar,” katanya.