Jumaat lalu, pelakon Bell Ngasri mencipta kejutan apabila dinobat Artis Komedi Popular serta Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-35.
Pasti ramai tahu sebelum ini hangat diperkatakan mengenai menifesto pelakon itu yang berseloroh mahu membelanja para pengundi makan tengah hari pada bulan Ramadan nanti jika menang di ABPBH.
BACA: Bell Ngasri Nak Belanja ‘Makan Tengah Hari’ Di Bulan Ramadan Kalau Menang ABPBH35
Memetik Harian Metro, Bell memohon maaf apabila dia tidak dapatkan menunaikan janji manifestonya itu serta tidak sangka perkara itu dipandang serius sesetengah pihak.
“Manifesto yang digunakan untuk berkempen itu adalah cadangan daripada rakan, tetapi saya tidak menyangka ia dipandang serius pula. Saya anggap ia sekadar gurauan saja.
“Apabila dijadikan sebagai manifesto kempen, saya berpendapat takkan mereka hendak makan ketika bulan puasa. Namun, saya tidak menyangka dan terlepas pandang ada dalam kalangan pengundi saya bukan beragama Islam.
“Jadi, saya termenung sekarang ini kerana tidak tahu bagaimana hendak memberikan maklum balas. Saya memang tidak sangka sebenarnya,” katanya.
Baru-baru ini, hangat diperkatakan apabila pempengaruh media sosial iaitu Dr Malar Santhi antara yang menuntut Bell membelanjanya makan tengah hari pada bulan Ramadan susulan kemenangannya itu.
Dalam pada itu, Bell berkata niatnya hanya untuk menghiburkan orang ramai serta menjadikan apa yang berlaku itu sebagai pengajaran untuk membuat lawak di masa akan datang.
“Saya meminta maaf, namun saya bukan berkecimpung dalam bidang politik. Saya berada dalam bidang hiburan dan apa yang saya buat untuk menghiburkan anda semua saja.
“Tidak ada pun saya terfikir untuk merealisasikan apa yang dijanjikan dengan betul. Namun saya menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran untuk membuat lawak,” katanya.