Mawi Bukukan Kisah Suka Duka, Harap Dapat Jadi Sumber Inspirasi

Sebut sahaja nama Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, pasti ramai masih ingat lagi dengan fenomena Tsumawi yang pernah tercetus suatu masa dahulu menerusi program realiti Akademi Fantasia.

Namun, disebalik populariti dikecapinya sebelum ini, ramai tidak tahu cabaran dan dugaan yang dilalui oleh penyanyi itu.

BACA: Mawi Bakal Terbitkan Biografi Kisah Hidupnya

Bagaimanapun, Mawi berkongsikan kisah suka sepanjang bergelar anak seni menerusi buku autobiografi berjudul Mawi Dalam Lautan Manusia.

“Saya kongsi kisah suka duka sebelum dan selepas menyertai Akademi Fantasia. Orang nampak hanya luaran sahaja, mereka tidak tahu apa yang telah saya lalui selama ini.Populariti itu memang indah, tetapi banyak ujian yang terpaksa saya tempuh,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi dan penyampai radio berusia 41 tahun itu berharap buku itu dapat menjadi inspirasi buat mereka yang mahu menceburi bidang seni.

“Ada sedikit saya ceritakan tentang gosip sebelum ini. Jika rasa perlu diceritakan saya tulis. Kita tidak boleh harap seperti apa yang kita impikan. Orang hanya melihat perkara indah sahaja dalam dunia glamor.

“Ramai yang nak jadi artis popular, jadi dengan buku ini boleh beri sedikit panduan sebagai persediaan,” katanya.

Mawi berkata lagi, dia mengambil masa setahun untuk menyiapkan buku tersebut dengan bantuan rakan yang mahir dalam bidang penulisan.

×