Masuk Usia Warga Emas, Zul Yahya Pertimbang Watak Sesuai

Sebelum ini mendakwa kerjaya dalam industri seni kurang berkat, pelakon Zul Yahya mengakui masih lagi ditawarkan untuk berlakon namun akan mempertimbangkan watak yang sesuai jika ingin kembali berlakon.

Menurut Zul, kesesuain yang maksudkan olehnya dia perlukan watak yang kena dengan usianya dan watak yang dilakonkannya itu memberi nilai yang baik kepada penonton dan juga masyarakat.

BACA: Zul Yahya Seru Pekerja Belakang Tabir Tinggalkan Industri Hiburan

“Tawaran memang ada, tapi saya sendiri yang pilih untuk berehat terlebih dahulu. Kalau ada keinginan untuk kembali berlakon, saya akan buat tapi mengikut kesesuaian. Kalau watak yang ditawarkan itu kena dengan usia, lebih matang dan mungkin lebih serius, saya akan pertimbangkan.

“Kalau boleh, biarlah karakter yang saya lakonkan itu, ada nilai dalam penyampaian kepada penonton dan menjadi asbab untuk sampaikan sesuatu yang baik buat masyarakat juga,” katanya.

Berkongsikan perkembangan terkininya, Zul berkata dia kini menetap di Ipoh, Perak  menguruskan perniagaan berasaskan makanan dan bakal membuka kedai runcit dijangka bulan hadapan.

“Alhamdulillah. Saya bersyukur sangat kerana Allah permudahkan banyak urusan saya dan kini, saya bermastautin di Ipoh. Dah nak masuk usia warga emas ini, saya kembali ke sini dan membuka perniagaan di Meru,” katanya.

“Bila dah terbabit dalam perniagaan makanan, kita jadi dekat dengan pelanggan dan kita sediakan produk untuk mereka. Disebabkan itulah, saya perlu berikan tumpuan penuh kepada perniagaan ini dan tak boleh terlepas pandang.

“Insya-Allah, bulan depan pula saya akan membuka kedai runcit di kawasan sekitar tempat tinggal. Semakin banyak tanggungjawab saya selepas ini, tapi itu semua yang mengisi jadual harian saya,” katanya.

×